Quantcast
Channel: :: Dari Dapur CT ::
Viewing all articles
Browse latest Browse all 219

Opor Nangka Muda

$
0
0

Assalamualaikum... Apa khabar hari ini, semoga teman-teman sentiasa sihat, ceria dan bahagia disisi keluarga dan insan-insan terchenta. Alhamdulillah syukur sebab CT juga diberi kesihatan yang baik, walau pun kadang-kadang tu rasa macam kaki cepat lenguh dan tumit sakit bila berdiri agak lama didapur. Mungkin itu tanda yang kita dah berusia kot hehehe. Namun itu semua bukan alasan untuk tidak meneruskan tugas seharian CT sebagai suri rumah tangga sepenuh masa seperti biasa.


Resepi yang CT kongsikan pada hari ini adalah resepi keempat dari lima resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013 iaitu Opor Nangka Muda. Bercakap tentang buah nangka, salah satu buah tradisional yang dinikmati bukan setakat ketika ia belum masak untuk dijadikan lauk, malahan selain dinikmati segar setelah ianya ranum, ianya juga turut dijadikan bahan dalam membuat kuih muih dan pengat. Selain dari buahnya, bijinya juga turut boleh dimakan. Masa zaman CT budak-budak dulu, arwah mak CT akan rebus biji nangka ni sampai empuk dan dituang kedalam tapis dan kami adik-beradik akan duduk mengadap makan ramai-ramai hingga habis. Rasanya seakan-akan buah berangan. Maklumlah zaman tu kami semua orang susah, biji nangka pun habis dimakan hehehe.


Berbalik pada menu Opor Nangka Muda ni, resipi ni sebenarnya CT dapat daripada kakak CT. Kiranya ini adalah resipi turun-temurun keluarga CT dan CT perturunkan pula di blog kesayangan CT ini pula untuk dikongsikan kepada semua. Manalah tahu suatu hari nanti anak-anak CT terasa nak memasak hidangan ni untuk keluarga masing-masing nanti, bolehlah rujuk di blog mama dia ni. Bahan utama resepi ini adalah nangka muda yang direbus sehingga betul-betul empuk kemudian dicampur bahan rempahnya dan dimasak dengan santan kelapa sehingga kuahnya pekat.


Hidangan ini paling sesuai dinikmati bersama nasi putih hangat dan cukup walau sekadar dinikmati bersama ikan goreng tanpa lauk-pauk lain. Selain itu, lauk opor nangka muda ni akan lebih sedap bila sudah seharian dibiarkan sebab rempahnya yang sudah serap sebati kedalam buah nangka tersebut dan kuahnya juga menjadi bertambah pekat. Lebih banyak kerisiknya, lebih pekat kuahnya, lebih sedap rasanya nanti.

Cuma satu saja kekesalan CT tentang buah nangka. Dulu CT ni penggemar tegar buah nangka. CT suka sangat dengan buah nangka dan kalau makan buah nangka yang sudah masak tu, berulas-ulas CT makan. Tapi itu dulu. Bermula dari masa mengandung anak pertama, CT mula alah pada buah nangka, samada buah nangka segar atau nangka muda yang dibuat lauk. Lepas makan, pasti terasa pedih ulu hati. Alahan tersebut turut dikongsi oleh anak CT yang sulong tu dan kini kami berdua dalam sekeluarga yang tidak dapat menikmati buah nangka seperti orang lain. Rugi kan. Tapi nak buat macamana. Terima ajelah :)


Okeylah, CT berhenti sampai di sini dulu. Pada yang suka makan nangka dan terasa ingin mencuba hidangan baru berasaskan nangka, hidangan Opor Nangka Muda ni pastinya sesuatu yang menetapi citarasa. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT..Daaa....


Opor Nangka Muda

Bahan-bahan :
500 gm nangka muda - dibersihkan
700 ml santan - dari sebiji kelapa

Bahan sangrai dan kisar halus :
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
5 tangkai cili kering - buang bijinya
2 batang serai - hiris kasar
2 helai daun cekur
2 helai daun limau purut - buang uratnya

Bahan sangrai dan kisar kering :
1 sudu besar rata ketumbar biji
1/2 sudu besar jintan putih
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 inci kulit kayu manis

1 sudu besar kerisik
1/4 cawan pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :
1. Rebus nangka hingga empuk dan tapis buang airnya. Ketepikan.
2. Masukkan nangka dalam kulai, tuang santan, bahan kisar halus dan bahan kisar kering kacau rata dan masak sehinga mendidih dengan api sederhana.
3. Masukkan kerisik, pes asam jawa, garam dan gula cukup rasa. Masak lagi hingga kuah sedikit pekat. Angkat dan sajikan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 219

Latest Images

Trending Articles