
Assalamualaikum. Salam sejahtera dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Hari ni CT tak update entri masakan ye. Sebab hari ni CT nak berkongsi kegembiraan CT kerana 8 daripada resepi yang pernah CT publish telah di paparkan dalam 6 muka surat di majalah AROMA keluaran bulan April 2012.

CT masih lagi ingat, ketika CT mula-mula berblog dalam blog masakan ini pada tahun 2009 dulu, blog masakan adalah salah satu aliran blog yang terpencil dalam dunia dan kelompoknya sendiri. Kitarannya agak terasing dan hanya berkisar di kalangan kepompongnya saja. Namun kini, blog masakan sudah mula menonjolkan diri dan menjadi salah satu aliran penulisan blog yang tak kurang popularnya. Dan kini, bukan sekadar golongan chef, atau golongan wanita yang season di dapur. Tetapi kini golongan anak muda, malahan tidak terkecuali golongan anak muda yang lelaki turut sama memeriahkan dunia masakan. Semuanya gara-gara kehangatan rancangan masakan realiti TV yang sedikit sebanyak turut menambahkan lagi tempiasnya dalam mempopularkan aliran blog masakan.

Fenomena ini amat menggembirakan CT sebab masakan adalah satu-satunya aliran blogging yang sehati dan sejiwa dengan minat CT. Maklum sajalah, untuk suri rumah sepenuh masa seperti CT, blogging masakan adalah salah satu hobi yang dapat memberikan manfaat bukan saja untuk CT dan keluarga tetapi juga kepada semua yang membaca blog CT. Dengan blogging ini, CT dapat mencuba pelbagai variasi masakan yang bukan saja dapat dinikmati oleh keluarga tersayang malah dapat juga dikongsikan kepada semua pembaca blog CT yang berminat untuk mencubanya.

CT ingin merakamkan ribuan terima-kasih kepada pihak AROMA terutamanya Cik Nur Aziera Ridzuan yang telah menghubungi CT mula-mula sekali dan memberi peluang untuk resepi Dapur CT dipaparkan dalam Majalah AROMA bulan April 2012 ini. Juga kepada Ketua wartawannya iaitu Akmar Jamaludin yang juga kemudiannya telah juga menghubungi CT untuk membuat penggambaran di rumah, tetapi terpaksa CT tolak. InsyaAllah dimasa yang lain lagi jika berpeluang. Dan tak lupa juga, ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua penyumbang-penyumbang asal resepi yang antara resepinya telah CT cuba dan kongsikan dan telah kini terpapar untuk tatapan semua dalam majalah tersebut.

CT amat gembira diberi peluang sebegitu kerana bukan lagi sekadar dikitaran dunia cyber, tetapi dengan diberi peluang untuk muncul dalam media cetak seperti ini dapat memberi peluang untuk CT berkongsi resepi kepada mereka yang tidak melayari dunia internet. CT anggap ini adalah penyuntik semangat untuk CT untuk membuat dan memberi yang lebih baik lagi dimasa hadapan. Akhir-kata, pastinya ucapan yang paling tinggi adalah buat suami tersayang yang memberi sepenuh sokongan dan tunjuk ajar, baik dari cara untuk mengambil gambar sehinggalah kepada cara penulisan CT di blog ini. Tanpa sokongan insan tersayang, tak mungkin CT akan pergi sejauh ini. Apa yang pasti, jalan ini masih jauh dan semoga CT terus diberi kesihatan yang baik supaya CT dapat terus menulis dan berkongsi lebih banyak lagi dan lebih baik lagi untuk semua pembaca blog CT yang tersayang dimasa yang mendatang, InsyaAllah. Akhirkata, salam sayang dari CT untuk semua. Muahss!