
Assalamualaikum... Salam ceria dan salam manis dari CT buat teman-teman semua. Semoga kita semua dikurniakan kebahagiaan setiap masa dikelilingi insan-insan tersayang. Buat sarapan apa pagi ni kita ye? Jika tak buat menu sarapan yang berat, sarapan yang ringan pun tidak mengapa. Lagipun yang paling penting adalah kesederhanaan dan keikhlasan. Walaupun makanan yang di sediakan sangat sederhana tapi jika disediakan dengan seikhlas hati kerana anak-anak dan suami maka rezeki yang sedikit tetapi berkat itu bolehlah diumpamakan seperti sebutir permata kecil yang mahal harganya berbanding seguni kaca yang tidak memberi nilai apa-apa. Dan jangan juga lupa untuk sentiasa bersyukur untuk rezeki yang kita dapat, walaupun cuma sedikit asal saja mencukupi kadarnya malah tiada berlebih-lebihan pula, itulah yang sebaik-baiknya. Hehehe.. maaflah CT seperti bertazkirah pulak pagi-pagi ni. Bukannya apa, sekadar bermuhasabah untuk diri sendiri saja.

Sebelum berbicara tentang resepi hari ini, terlebih dahulu CT ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih diatas ucapan tahniah dan kata-kata semangat dari teman-teman semua. Alhamdulillah... CT ni hanyalah insan biasa, yang masih banyak kekurangan dan masih banyak perkara yang CT masih ingin pelajari. Jika ada yang terkurang atau terlebih dalam setiap resipi yang CT kongsikan di sini, mintak dimaafkan lah ye.. Seperti yang CT kata, CT anggap mendapat peluang untuk resepi kita disiarkan dalam majalah sebegitu adalah sebagai peransang untuk CT memberikan yang lebih baik dalam perkongsian CT dalam blog ini untuk semua. Dan CT juga anggap ianya sebagai saguhati untuk segala usaha yang CT curahkan dalam blog ini. Dan kata-kata semangat dari teman-teman semua tak akan CT lupakan. Semoga selepas ini akan ada teman-teman yang lain yang belum pernah mendapat peluang sebegini akan turut mendapat peluang yang sama seperti CT juga. Pastinya giliran itu akan tiba juga. Insya'Allah.

Seperti kebiasaannya, CT suka buat resepi yang CT dah tahu ianya digemari insan-insan dirumah. Jadinya kuih yang menjadi pilihan pagi ni ialah Kuih Buah Melaka. Ini antara resepi kuih yang senang, simple dan sedap dan sangat digemari anak-anak CT dan juga suami. CT mula buat kuih ni semenjak CT di zaman anak dara dulu. Duduk ramai-ramai dengan kakak-kakak CT dan gentel buat kuih ni sebab arwah mak kata buat sendiri lagi sedap dari beli... hehehe. Disebabkan suka pada kuih ni dan nak makan punya pasal, rajin semualah kami waktu tu.

Masa dulu kalau buat kuih buah melaka ni arwah mak CT akan campur dengan sedikit keledek yang dilecek halus dalam adunan tu supaya kuih rasa lebih sedap. Sekarang ni dah jarang orang nak buat macam tu, sebab nak cepat kerja dan mudah. Tapi CT pun tak letak juga dalam resepi ni sebab stok keledek dah habis, kalau tidak pasti CT dah letak. Lain kali CT akan buat dan share resipinya lagi, Insya'Allah.

Tidak berbicara lebih panjang lagi, kita terus pada resipi yang mudah ni ya. Kalau membebel lebih panjang lagi, kesian kat teman-teman yang datang menjenguk resepi, tapi jangankan kata kuih, air pun tak ada. Jangan marah ya... hehehe. Jumpa lagi nanti, Insya'Allah. Salam manis dari CT. Daaa....
Kuih Buah Melaka
Resipi : Che CT
Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut + 2 sudu besar tepung gandum
1 1/4 cawan air - tambah juka perlu
Sedikit pewarna hijau
1/2 sudu kecil pandan emulco
Gula kabung/Gula melaka - dipotong kecil-kecil untuk inti
1 biji kelapa parut putih
sedikit garam halus
Air secukupnya untuk merebus
Cara-cara:
1. Didihkan air dalam periuk untuk merebus buah melaka.
2. Air dicampur dengan pewarna hijau dan pandan emulco, kacau rata.
3. Tuang air kedalam tepung pulut dan gaul tepung pulut sehingga adunan boleh digentel. Tuang air sedikit demi sedikit, secukupnya.
4. Ambil sedikit adunan, leperkan atas tapak tangan dan bubuh inti. Tutup rapat dan bentukkan bulat.
5. Rebus dalam air mendidih sehingga buah melaka timbul. Angkat dan toskan.
6. Salut buah melaka dengan kelapa parut yang telah dikukus dahulu dan di campur dengan sedikit garam, gaul rata. Hidangkan.

