
Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria untuk teman-teman CT semua. Selamat pagi moga pagi ini kita semua diberikan kesihatan yang cemerlang untuk sepanjang hari ni, Insya'Allah. Pejam celik dah nak sampai dihujung minggu, CT pun dok leka aje nak mengupdate blog sekarang ni. Kadang-kadang masa amat mencemburui CT dalam kesibukan melakukan tugas-tugas seharian. Kadang-kadang tu rindu juga bila sehari tak menjengah blog kesayangan CT dan keluarga ni. Maklumlah, ini satu-satunya medium yang ideal untuk CT mencurahkan segalanya, dari segi memasak dan kadang-kadang luahan hati juga. Bukan luahan rasa kecewa, tapi luahan kegembiraan dan perkongsian minat. Luahan hati bila memasak menjadi atau tidak, sedap atau tidak itu aje... hehehe. Kalau masalah keluarga tu tak kan nak cerita kat sini pulak kan... hehehe.

Berbalik pada menu CT hari ini, Kira inilah entry roti CT yang terbaru sejak sekian lama tak meroti. Biasalah bila dah beli tepung roti ni kenalah meroti kan. Sebab tepung bukannya boleh nak simpan lama-lama sangat. Yang CT hairan dan ajaib ni, kenapa beli tepung roti ni bila kita biarkan seminggu atau lebih sikit, mulalah ada mahluk asing dalam tu. Haa... setiap kali nak buat kuih atau kek, CT pastikan tepung tu diayak sebanyak 2 kali. Sebab kebanyakan masa pasti akan jumpalah yang mahluk halus-halus tanpa diundang dalam tu. Emm... tak suka betul kalau dah terjumpa benda-benda macam tu, macam nak buang aje. Tapi sayang pulak, nak tak nak kenalah ayak betul-betul dan simpan elok2 dalam peti sejuk. Itu untuk proses roti yang kita buat sendiri tu. Kalau yang jual kat kedai tu, agak-agaknya macamana lah ye.. hehe.. wallahua'lam. Petua mengayak tepung roti ni dari Mat Gebu ni, jadi kenalah ikut... hehehe.


Okey kembali pada tajuk asal kita, untuk CT buat roti kelapa ni, memanglah mudah sebab ada pembantu, alah BM tu.. Bukan Bibik Melayu tapi Bread Maker hehe, jadinya cepatlah sikit kerja-kerja CT ni kan. Bukan tak mahu menguli, tapi CT memang tak larat nak menguli. Atau senang cakap, malassss!... hahaha. Resipi ni CT ambil dari ROS Jintanmanis, cuma bezanya CT tak letak perasa pandan lah ya, buat plain aje. Kelembutan roti ni sangat ketara sebab ada letak water roux tu lah kot, tapi pastikan bila roti dan betul-betul sejuk simpan dalam bekas kedap udaralah ya. Nak lagi sedap, letak inti kelapa tu lebih-lebih, lagilah sedap... hehehe. Kalau gigit pun terasa inti kelapa tu aje, emm... memang sedap dan berbaloi buat sendiri cuma kena rajin dan tidak aje lah. Kalau beli roti kat kedai inti tu ciput aje tak puas makan rasanya, kalau buat sendiri banyak mana nak letak inti pun tak kisahkan sebab free dan pastinya dijamin kebersihannya.

Terus pada resipi dibawah jika ada yang teringin nak mencuba buat roti berinti kelapa yang lembut ni, silakan mencuba ye. Terima kasih untuk ROS diatas perkongsian resipi ini. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT. Daaa....
Roti Berinti kelapa
Resipi : ROS Jintanmanis
Di Olah : Che CT
Bahan Untuk Doh:
300 gram tepung roti
2 sudu besar susu tepung @ skim milk
3 sudu besar gula
1 biji telur - ambil 1/2 saja dan kacau sekejap dengan garfu
1 1/2 sudu besar marjerin/butter
120 ml air suam
2 sudu kecil yis
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar water roux
Untuk gliss :
Baki telur + 2 sudu besar susu segar + 3 titik madu
Water Roux :
50 gram tepung gandum
250 ml air
Cara water roux:
masukan semua bahan di dalam periuk dan kacau sehingga pekat dengan menggunakan api perlahan setelah pekat angkat dan sejukkan sebelum digunakan, (bahagi dua kuantiti water roux tadi, dan boleh digunakan untuk 2 adunan roti)
Bahan untuk Inti Kelapa :
1/2 biji kelapa parut putih
3/4 cawan gula merah
1/2 cawan air
1 helai daun pandan - disimpul
1 sudu besar tepung jagung
Cara membuat Inti :
1. Masukkan kelapa parut, air dan gula merah tadi serta sehelai daun pandan.
2. Masak hingga pekat dan taburkan sedikit tepung untuk kentalkan intinya. Kacau sehingga sebati sehingga inti kelapa tadi bercampur dengan gula merah. Inti akan menjadi warna keperangan. Angkat. Buang daun pandan tadi dan sejukkan.
Cara Membuat Doh :
1. Kaedah 1, penggunaan Bread Maker (BM), masukkan semua bahan Doh dan ikut arahan menguli pada Bread Maker dan tekan Start, tunggu sampai siap di uli dan boleh terus ke langkah no. 4 di bawah.
2. Kaedah 2, Jika uli tangan, masukkan semua bahan doh di dalam bekas adunan kecuali coklat rice dan uli hingga tidak melekat pada tangan, Setelah menjadi doh ambil plastic bersih dah letakkan doh di dalam plastic itu, ramas-ramas beberapa minit, lebih kurang 8 hingga 10 minit, keluarkan dan uli semula dalam bekas adunan, anda akan dapat doh yang lembut dan elastik.
3. Kemudian perap doh dan tutup bekas adunan dengan plastic wrap atau kain bersih dan biar doh naik dua kali ganda. masa yang diperlukan lebih kurang 40 minit hingga ke satu jam.
4. Selepas itu, tumbuk-tumbukkan doh bagi mengeluarkan angin, bahagi doh pada 9 bebola kecil dan bulat-bulatkan, leperkan sedikit doh dan masukkan inti kelapa, tutup kemas, susun di dalam acuan petak 18cm atau di atas dulang pembakar, biarkan naik dua kali ganda dan gliss permukaan bun dengan bancuhan telur dan toppingkan dengan sedikit kelapa kering dan jalurkan atasnya dengan srikayapandan, bakar pada suhu 180 darjah selama 20-22 minit atau sehingga permukaan bun perang.
5. Sejukkan atas redai, dan simpan di atas bekas bertutup bagi mengekalkan kelembutan nya.

