Quantcast
Channel: :: Dari Dapur CT ::
Viewing all articles
Browse latest Browse all 219

Kuih Lapis 3 Warna

$
0
0

Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria untuk pagi ini. Semoga teman-teman CT dalam keadaan yang sihat dan bahagia selalu hendaknya. Mula-mula tu tak tahu nak letak nama apa kat kuih ni. Sebab semua kuih lapis yang CT buat CT ikut mood aje. Tapi yang ni pulak siap tanya kat anak CT lagi, nak bagi nama apa kat kuih lapis ni. Anak bujang CT tu suka sangat dan minat main bola, jadi CT tanyalah kat dia sebab CT tengok warna yang CT guna ni macam warna jersi bola aje. Bila dah lihat kuih yang Mama dia buat ni terus katanya bagi nama Kuih Lapis 3 warna aje... hihihi. Ni dah kira buntu nak cari idea dan letak nama pada kuih, sampai mintak pendapat anak dah ni. Kes teruk dah kan, sebab semua rata-rata bubuh nama kuih lapis aje. Tapi tak kisahlah, janji sedap dan insan-insan dirumah suka, Alhamdulillah.


Bila dah buat kuih lapis macam ni, Haqim anak CT yang bongsulah yang paling suka sekali. Sebab dia suka makan kuih ni selapis demi selapis, yang lain-lain makan terus aje tak payah nak selak satu-satu lambat katanya.. hehehe. CT pun ikut mood juga kalau makan kuih lapis ni, kalau sambil tengok tv, CT akan bukak selapis demi selapis untuk masuk mulut, dah macam anak-anak juga dah.


Tapi seronok juga sesekali makan macam ni, menikmati makanan yang kita buat secara perlahan dan dapat merasai satu persatu setiap lapisan kuih tu. Selalunya bila buat kuih lapis ni CT akan campur gitu-gitu aje tepung dan letak pewarna, kukus dah siap. Tapi yang ini CT datang rajin letak pewarna dan perisanya sekali. Dapatlah rasa sikit-sikit walaupun bukan ada pisang dalam adunan tu. Insya'Allah kalau nak buat lagi CT akan letak buah pisang yang dilecek pulak dalam tu, baru betul ya tak... hehehe.


Bab kuih-muih ni CT memang rajin sikit untuk membuatnya, sebab memang anak-anak dan suami akan bersarapan pagi dengan kuih sebelum ke sekolah dan pergi kerja. Kecuali datang mood rajin barulah buat sarapan yang berat sedikit macam nasi goreng atau mee goreng untuk sarapan pagi. Tapi kalau nak buat menu berat, kenalah bangun awal dari hari biasa. Hmmm.. bila cakap bab nasi goreng ni memang lama juga CT tak buat, CT alah makan nasi goreng sebabnya mata ni cepat sangat mengantuk kalau makan nasi goreng. Nanti mulalah kerja-kerja dirumah akan terganggu sebab CT bantai tidur sekejap... hehehe. Ini kalau suami CT baca mesti akan kedengaran suara dan cakap-cakap kecil yang CT lama sangat dah tak masak nasi goreng... hehehe.


Kita terus pada resipi Kuih lapis 3 warna ni yang CT ingin kongsikan bersama teman-teman di pagi Isnin ni. Jika ada yang ingin mencuba silakan ya. Salam manis dari CT sampai jumpa lagi. Daaa....

Kuih Lapis 3 Warna
Resipi : Che CT

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung jagung
1/4 cawan tepung beras
3/4 cawan gula pasir
3 1/2 cawan santan - tambah jika perlu
1 camca teh garam
1 sudu kecil pewarna Kuning + 1/ 2 sudu teh perisa pisang
1 susu kecil pewarna Hijau + 1/2 sudu kecil pandan emulco

Cara-cara:
1. Panaskan periuk kukus. Sapukan loyang 7/8 inci dengan sedikit minyak. Dan alas dengan plastik bersih dan lebihkan sedikit keluar loyang agar mudah untuk mengeluarkan kuih lapis nanti. Masuk loyang dalam periuk kukusan.
2. Campurkan kesemua bahan kecuali pewarna dan perisa. Kacau dengan whisk hingga gula larut.
3. Tapis adunan dalam mangkuk lain dan bahagikan kepada tiga bahagian sama banyak.
4. Satu bahagian diwarnakan kuning dan perisa pisang, satu lagi warnakan hijau dan perisa pandan satu lagi biarkan plain saja.
5. Mulakan lapisan bawah dengan warna putih. Kukus selama 7 - 8 minit atau hingga masak baru tindih dengan lapisan hijau dan seterusnya warna kuning.
6. Buat berulang-ulang hingga habis adunan tadi. Dan yang akhir sekali balut tutup kukusan dengan kain bersih dan kukus selama 15 minit.
7. Bila dah siap 15 minit, buka tutup kukusan dan biar adunan dalam periuk kukusan 3 minit lagi. Kemudian baru ditutup api dan angkat kuih.
8. Sejukkan betul-betul dahulu kuih barulah dipotong dan hidang.




Viewing all articles
Browse latest Browse all 219