Quantcast
Channel: :: Dari Dapur CT ::
Viewing all 219 articles
Browse latest View live

Ikan Tongkol Bakar Bersama Sambal Mangga Muda

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam pagi dan semoga ceria teman-teman CT semuanya hendaknya. Terima kasih buat semua teman-teman yang sudi bertandang dan meninggalkan komen di blog Dapur CT. Selain itu, CT juga ingin minta maaf kerana ada ketikanya CT lambat untuk membalas semua komen-komen yang diberi. Kebelakangan ini CT kadang-kadang terkejar-kejar dengan masa. Tapi InsyaAllah di setiap kesempatan yang terluang, CT akan cuba membalas serta membuat kunjungan balas ye.


Hari ini CT kongsikan menu yang memang menggugat selera lapar yang terlampau. Selera CT lah tu, selera teman-teman tak tahulah pula hehehe. Waktu menaip ni pun, bila terlihat gambar ikan bakar dan sambal mangga yang dah habis disantap ni pun masih juga 4-5 kali CT tertelan air liur hahahaha. Sesekali makan begini bersama kuah asam dan ikan bakar memang menyelerakan. Ditambah pula dengan sambal belacan yang rasanya sedikit masin, manis tetapi pedas menyengat, dan itulah yang membuat rasa sambal belacan ni sangat sedap. Baunya jangan cakaplah. Dah habis makan setelah tangan disabun pun baunya ditangan masih tak hilang, memang kuat betul penangan belacan ni kan.  Lepas tu, selagi tak hilang baunya, asyik dicium-cium ajelah tangan tu ke sana sini hehehe. Lepas CT lumur tangan dengan kulit limau nipis barulah hilang sikit, itu pun masih ada bau sikit-sikit lagi kat hujung-hujung kuku hehehe.


Di rumah CT ni jarang juga buat sambal belacan sebenarnya, kecuali bila masak sayur bening atau masak lemak pucuk ubi atau lemak pucuk paku barulah nampak belacan atas meja. Nak tambah sedap lagi, lawankan pula dengan telur dadar dan ulam-ulaman, memang bertambah-tambah lah nasi di pinggan. Tapi anak-anak CT hanya 2 orang aje yang suka belacan. Si bujang yang besar dengan yang bongsu tu memang tak sentuh pun sambal belacan ni. Tapi kalau anak dara yang sulong dan anak bujang yang nombor tiga tu, memang hantu belacan hehehe.


Entah dari mana asal-usul belacan ni ye, tapi rasanya sambal belacan ni dah terkenal serata pelusuk rantau Asia sebagai sambal pencecah. Daripada Laksa Johor hinggalah kepada nasi ayam penyet, kalau tak ada sambal belacan tak sah kan. Selain itu, Belacan juga adalah penyedap dalam masakan seharian dan digunakan sebagai bahan asas bersama-sama dengan cili, bawang dan bawang putih untuk menghasilkan sambal. Pendek kata memang ia dah terbukti sebagai bahan pembuka selera. Jika tiada belacan, berkuranglah sedikit selera untuk menikmati sesuatu makanan tu, betul tak.


Kata orang tua-tua dulu, buah mangga jangan dibuat sambal belacan. Sebab bila dah buat sambal belacan, seluruh buah mangga yang dihasilkan oleh pokok tu nanti akan rosak berulat. Tapi tak tahulah pula betul atau tidak. Sebab pokok buah mangga yang ditanam didepan rumah CT yang CT ambil buahnya untuk dibuat sambal belacan semakin lebat pulak berbuahnya. Mungkin itu cuma alasan orang dulu-dulu untuk mengelakkan jirannya yang kerap meminta percuma buah mangga untuk dibuat sambal belacan setiap hari kot hehehe.


Okeylah, CT berhenti di sini dulu. Kalau bercerita panjang lagi takut ada yang meleleh air liur pulak. Jadi sebelum basah keyboard tu, CT berhenti dululah ya. Dan sekali lagi, terima kasih CT ucapkan untuk teman-teman yang meninggalkan komen-komen yang manis. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT. Daaa....


Ikan Tongkol Bakar Bersama Sambal Mangga Muda
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
2 ekor ikan tongkol - saiz kecil
1 biji mangga muda saiz sederhana - buang kulit dan sagat kasar
5 biji cili padi - sesuaikan rasa pedas ikut masing-masing
3 batang cili kering - celur air panas
1 inci belacan bakar
1 sudu kecil gula melaka
2 biji tomato sedang - potong dadu
Limau kasturi - perah ambil jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Daun pisang - untuk balut ikan

Cara-cara :
1. Ikan tongkol dibelah perutnya dan dibersihkan. Lumur ikan dengan jus limau dan perap sekejap. Kemudian balut dengan daun pisang dan bakar atas dapur dengan api perlahan. Balik-balik ikan agar masak sama rata. Ketepikan.
2. Satukan semua bahan kecuali mangga muda dan jus limau kasturi. Tumbuk hingga lumat dan perasakan dengan sedikit gula dan garam. Biar ada rasa sedikit masin, manis dan pedas.
3. Sudukan bahan ditumbuk dalam mangkuk bersih dan letak mangga muda dan gaul sebati. Perahkan jus limau kasturi diatasnya dan gaul rata. Hidangkan bersama ikan tongkol bakar dan nasi hangat.



Sweet Delightful Cookies

$
0
0

Assalamualaikum dan salam berhujung minggu untuk semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT yang CT sayangi. Amat jarang malah mungkin boleh dikira CT update entri semasa hari cuti hujung minggu macam ni kan. Entah kenapa hari ni CT tergerak hati nak update entri. Agaknya sebab lama sangat CT tak update malah sepanjang Isnin hingga ke hari ni, baru ni CT update resepi kan hehehe. CT mintak maaf lah ye. Sebenarnya CT tak sempat sebab sibuk sikit sepanjang minggu ni tapi bila CT senang sikit macam hari ni dapatlah CT luangkan masa untuk postkan resepi mana yang sempat.


Sebenarnya resepi yang CT updatekan hari ini adalah entri tertunggak yang CT dari sehari ke sehari CT nak update tapi tetap juga tertangguh. Untuk manfaat rakan-rakan yang berbangsa cina yang mungkin mencari-cari resepi biskut yang yang mudah dan menyihatkan sempena sambutan Tahun Baru Cina seminggu lebih saja lagi nanti, jadi CT kongsikan resepi bikut ini yang telah disiarkan di Majalah Open Kitchen Italy, keluaran Disember 2012.


CT tak berceloteh panjang lagi untuk resepi ini. Pada sesiapa yang berminat untuk mencubanya, bolehlah semak resepi yang CT kongsikan kat bawah tu. CT tak sempat nak alih bahasakan ke bahasa melayu tapi okeylah dalam bahasa inggeris tu ye. Semoga berjumpa lagi pada Isnin minggu depan, salam manis dan selamat berhujung minggu dari CT... daaaaa.



Sweet Delightful Cookies
Recipe: Che CT

Ingredients:
3 cups all purpose flour
½ tsp salt
1 tsp baking powder
1 cup unsalted butter, softened
1 cup granulated sugar
2 large eggs
2 tsp orange flavor

Preparation Method:
1. Whisk together flour, salt, and baking powder in a medium bowl.
2. Cream butter and sugar with an electric mixer on medium speed until butter is lightened in color.
3. Beat in eggs, one at a time, scraping the side of the bowl after each addition.
4. Beat in range flavor. Turn mixer to low speed and slowly stir in flour mixture until incorporated.
5. Split dough in half, wrap in plastic wrap, and chill for about 1 hour.
6.  Preheat oven to 350°F. Remove dough from refrigerator and roll out to ¼ inch thickness.
7. Cut out cookies and place on parchment lined cookie sheets, spaced 2 inches apart. Bake for 8-10 minutes. Cool cookies completely before decorating.



Icing (Topping)

Ingredients:
1 egg white
90 gm icing sugar
1 tbsp cornstarch
1 tsp lemon juice
food colouring

Preparation Method:
Beat the egg white with an electric mixer until creamy. Add icing sugar, cornstarch and lemon juice and beat again until smooth. Devide into several parts and add food colouring. Fill piping bag with icing and decorate your cookies.


Pandan Pancake with Vanilla Ice Cream

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam ceria buat semua pengunjung setia Dapur CT. Bertemu kembali diawal bulan February, semoga kita semua di beri kesihatan yang baik pada setiap masa dan ketika dan sentiasa ceria bersama insan-insan tersayang.


Apa menu sarapan teman-teman hari ini agaknya ya. Sebagai entri pembukaan untuk minggu ini, CT kongsikan resepi menu sarapan yang senang iaitu Pancake Pandan. Sudah agak lama juga CT tak buat pancake sebagai menu sarapan pagi. CT bangun awal untuk menyediakan menu sarapan ni. Maklumlah nak perap adunan tu dulu sebelum menyediakannya. Anak-anak CT gemar juga menu sarapan macam ni dan biasanya anak-anak CT suka dilapis dengan sapuan peanut butter dan jem. Untuk CT pulak, biasanya CT bersarapan lewat sedikit dan CT hidangkannya bersama ais krim vanila dan sos chocolate. Emm... memang sedap! tapi CT makan setakat 2 keping aje dah kenyang hehehe.


Resepi Pancake ni boleh dipelbagaikan adunannya. Dan ada juga yang turut mencampurkan inti yang ingin di sapu kedalam adunan tersebut. Itu semua terpulang pada selera masing-masing mengikut citarasa yang diinginkan. Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini, CT membuatnya dengan perisa pandan. Sebelum-sebelum ni CT pernah buat dengan perisa vanila dan chocolate. Bila anak-anak merasa pancake perisa pandan ni, anak-anak bertanya... "kenapa pancake mama kali ni rasa lain daripada biasa" hehehe.


Sebenarnya resipi ni hasil carian CT di Google. Asalnya CT mencari resipi kek pandan tapi dalam mencari-cari tu, terjumpa pulak resipi pancake pandan. Apalagi, cuba ajelah hehehe. Lain nak dibuat lain pula yang dijumpanya, namun adunan pancake ni memang lembut walau sudah seharian dibiarkan diluar.


CT olah resepi tersebut dengan menambahkan anggaran 1 sudu besar mentega cair. Untuk hasil dari adunannya pula, CT dapat dalam 7 keping mengunakan frying pan 5 inci. Jika teman-teman ingin mendapatkan jumlah yang lebih, gandakan saja adunan yang CT kongsikan dibawah tu ya.


Okeylah CT berhenti setakat di sini dulu ye. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa singgah di Dapur CT. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Pandan Pancake with Vanilla Ice Cream
Resepi olahan Che CT

Bahan-bahan :
1 cawan tepung gandum
1/2 sudu baking powder
1/2 sudu baking soda
secubit garam
1 1/2 sudu besar gula kaster
1 biji telur besar
1 cawan susu segar
1 sudu besar mentega - dicairkan
1 sudu teh esen pandan
Beberapa titik pewarna hijau
Sedikit mentega - untuk gris

Cara-cara :
1. Adunan Kering: Campurkan tepung gandum, baking powder, baking soda, secubit garam dan gula kaster ke dalam mangkuk besar.
2. Adunan Cecair: Dalam mangkuk lain, campurkan telur, susu, mentega cair, esen pandan dan pewarna hijau kacau dengan whisk hingga rata.
3. Masukkan perlahan-lahan adunan cecair ke dalam adunan kering. Kacau hingga rata dan hingga tiada ketulan tepung lagi. Jika adunan terlalu pekat, tambahkan sedikit lagi susu.
4. Tutup adunan pancake dengan plastik bersih dan rehatkan adunan kira-kira 30 minit.
5. Gris frying pan dengan mentega nipis-nipis dan panaskan dengan api perlahan. Tuangkan anggaran 1/3 cawan adunan dan masak sehingga nampak lubang-lubang kecil diatasnya, terbalikkan dengan perlahan-lahan. Masak lagi hingga bahagian bawah kekuningan. Angkat.
6. Hidangkan bersama lapisan inti kegemaran dan tambahkan ais krim vanila bersama sos chocolate sebagai toppingnya.

Ayam Masak Sambal Selasih

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam manis buat teman-teman semua yang setia berkunjung ke Dapur CT. Semoga kunjungan kali ini memberikan sedikit inspirasi untuk menambahkan lagi variasi resepi yang ingin dicuba pada hari ini ye. Isnin lepas CT kongsikan menu sarapan pagi jadi hari ini CT kongsikan menu untuk lunch atau dinner pula.


Alhamdulillah, untuk resepi hari ni CT kongsikan satu hidangan yang sedap. Pertama kali CT mencuba masakan ini terus CT suka. Dengan penggunaan daun limau purut, serai dan juga daun selasih, terdapat 3 aroma berlainan dalam hidangan kali ini. Dalam masakan, jika ada daun limau purut memang membangkitkan aroma makanan tersebut. Ditambah pula dengan serai yang dititik, menambahkan lagi kesegaran aromanya. Tapi pengunaan daun selasih seakan baru dalam hidangan CT ini. Tambahan pula memang CT jarang menggunakan daun selasih dalam masakan CT. Bimbang juga jika selera anak-anak akan terbantut dengan aromanya. Tapi sangkaan CT meleset sebab anak-anak suka dan berselera dengan hidangan ini.


Dalam resipi asal yang CT ambil dari blog seorang wanita India, resepinya menggunakan daun limau purut yang agak banyak iaitu sebanyak 8 helai. Bimbang suami tidak suka dengan baunya yang terlalu kuat nanti, CT kurangkan bilangan daun limau purut tu kepada 2 helai saja. Untuk bahan pedasnya pula, resepi asal menggunakan cili serbuk yang agak banyak. CT tak berapa suka akan rasa cili serbuk jadi CT gantikan dengan 1/2 cawan cili kisar. Maklumlah tekak kita yang nak makan jadi hasilnya mestilah mengikut selera tekak kita sendiri kan hehehe.


Antara masakan yang CT tahu menggunakan daun selasih dalam bahannya adalah sayur bening betik dicampur lada hitam. Mat Gebu pernah masak lauk tu, sedap sungguh kalau dihirup kuahnya semasa panas. Mahu berpeluh satu badan hehehe. Selain dari lauk tu CT tak pernah lagi memasak dengan menggunakan daun selasih ni dalam bahannya. Maklumlah benda-benda baru ni takut bila dimasak, anak-anak tak suka. Tapi kalau nak merasa kenalah mencuba ya tak. Kalau tak cuba pastinya tak tahu.


Jika ada yang nak mencuba resipi ni, silakan ye. Kita panjang-panjangkan lagi resepi ni supaya resepi yang CT kongsikan dapat dimanfaatkan oleh sesiapa saja yang ingin mencubanya. Okeylah, sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Ayam Masak Sambal Selasih
Resepi Olahan Che CT

Bahan-bahan :
1 ekor ayam - potong 12
2 batang serai - dititik
2 helai daun limau purut - dikoyak
3 biji tomato saiz sederhana - dibelah 4
1 kiub ayam
3 tangkai daun selasih - ambil daun sahaja
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan kisar :
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 cawan cili kisar

Cara-cara :
1. Ayam dibersihkan dan tos airnya. Letak garam dan serbuk kunyit. Perap 5 minit dan goreng ayam 1/2 masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar dan tumis hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan kacau rata. Biarkan hingga naik minyak.
3. Masukkan ayam yang digoreng tadi, serai yang dititik serta daun limau purut, kacau rata. 4. Tambahkan air anggaran 2 cawan serta kiub ayam, kacau rata dan biarkan sebentar.
5. Masukkan tomato dan daun selasih. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Biarkan sehingga kuah jadi sedikit pekat. Tutup api dan angkat.
6. Hidangkan ketika panas bersama nasi kegemaran.


Pudding Kacang Hijau

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam manisss dan salam berhujung minggu buat semua pengunjung Dapur CT dan teman-teman yang CT sayangi semua. Untuk teman-teman yang berbangsa cina atau mempunyai darah keturunan cina pula, CT ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan Gong Xi Fat Chai dan semoga tahun baru yang diraikan pada tahun ini membawa bersamanya seribu kemakmuran dan kebahagiaan seperti yang diharapkan.


Kebiasaannya bila menjelang tahun baru cina memang cuaca akan menjadi sangat kering dan panas. Sesuai dengan cuaca yang sebegini dan kesinambungan dari resepi breakfast dan lunch yang telah CT kongsikan pada hari Isnin dan Rabu yang lepas, hari ini CT kongsikan resepi desert pula. Resipi desert ni agak mudah disediakan dan sedap pula. Resipi asalnya menggunakan beras pulut hitam yang direbus. Tapi seperti kebiasaannya CT suka mengolah resepi mengikut inovasi CT sendiri. Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini CT gantikan bahannya kepada kacang hijau yang direbus.


Resepi desert yang dingin sebegini memang sangat sesuai bila dihidangkan dalam cuaca yang berbahang. Jikalau tidak dihidang sebagai pencuci mulut selepas lunch atau dinner, desert sebegini juga sesuai untuk dihidangkan sebagai hidangan minum petang bersama segelas punch atau jus buah-buahan yang dingin. Pastinya bahagia bila hidangan dan minuman yang sedap dan dingin tu turun melalui tekak dalam cuaca yang panas dan kering ni hehe.


Kat rumah CT, puding-puding macam ni memang sekejap aje habisnya bila dibuat. Apa tak nya, semua dalam rumah CT ni semuanya gemar dengan pudding dan agar-agar. Tak kisahlah bentuk apa atau perasa apa pun, asalkan puding atau agar-agar yang didinginkan, semuanya suka. Tambahan pula kalau dicampur dengan buah-buah campuran atau sos coklat semasa dihidangkan, bertambah lagi keenakan semasa menikmatinya.


Sebelum CT berhenti bercerita pasal pudding ni, CT ada ternampak seorang teman tu membuat puding ice cream. Terasa kecur pulak, tapi lepas tu CT tak ingat pulak kat mana CT ternampak resepi yang dikongsikan tu. Takpe, cuti hujung minggu yang panjang ni nanti CT cuba sekodeng lagi kot-kot terjumpa resepi tu lagi. Bila CT dah buat nanti, CT kongsikan di sini nanti ye.


Buat teman-teman yang mengambil kesempatan untuk bercuti pulang kekampung atau destinasi percutian lainnya sempena cuti hujung minggu yang panjang ni, berhati-hati selalu semasa memandu ye. Dan kalau makan hidangan yang sedap semasa percutian tu jangan lupakan CT tau. Okeylah, sampai jumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Pudding Kacang Hijau
Resepi Olahan Che CT

Bahan-bahan :
- 1 bungkus agar-agar serbuk - plain
- 750 ml susu cair
- 250 ml air
- 200 gm gula pasir
- 100 gm kacang hijau - cuci bersih dan rendam 1/2 jam
- 1/2 sudu teh garam
- 1/2 sudu teh strawbery paste
- Sedikit pewarna pink

Cara-cara :
1. Rebus kacang hijau sampai merekah dan masak. Angkat dan sejukkan.
2. Setelah kacang hijau sejuk, blender dengan menambahkan air sedikit demi sedikit sehingga kisaran menjadi halus. Ketepikan
3. Masak agar-agar, susu cair, air dan gula pasir sehingga mendidih. Kemudian masukkan kacang hijau dan garam. Kacau rata. Masak lagi hingga mendidih dan kacau sentiasa dengan api sederhana.
4. Angkat dan letak sedikit pewarna pink dan strawberry paste dan kacau rata. 
5. Sendukkan adunan kedalam acuan yang dibasahkan terlebih dahulu.
6. Biarkan sehingga adunan suam dulu sebelum dimasukkan dalam peti sejuk. Hidang ketika dingin bersama sos coklat atau buah-buahan campuran.

Kuih Bangkit @ Biskut Bangkit CNY

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam manis buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Pastinya semua sudah dalam mood cuti-cuti kan. Maklumlah esok dah pun menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Sama seperti Sambutan Aidil Fitri, Sambutan Tahun Baru Cina juga tidak kurang meriahnya malah Tahun Baru Cina merupakan perayaan kedua terbesar di Malaysia.


Sempena sambutan Chinese New Year ini, CT tak mahu ketinggalan untuk mengucapkan Happy Chinese New Year buat semua rakan-rakan berbangsa cina yang mengenali CT samada di FB atau di blog dan juga jiran-jiran berbangsa cina di taman perumahan CT ni. Untuk itu CT mencuba satu resipi Kuih Bangkit @ Biskut Bangkit yang menjadi salah satu kuih kemestian bila tiba raya Cina, dan menjadi kegemaran anak-anak dan suami CT dan CT kongsikan resepinya di sini untuk manfaat semua.


Sebelum ini CT belum pernah lagi membuat biskut bangkit ni, sebab selalunya kalau teringin nak makan atau ternampak barulah CT beli. Kiranya ini percubaan pertama CT membuatnya. untuk adunan yang CT kongsikan di bawah tu CT dapat anggaran 80 biji semuanya. Tak terbuang pun walau sedikit tepung, banyak juga dapatnya kan. Bila-bila senang nanti CT nak buat lagi.


Cara pembuatan biskut bangkit ini tidaklah serumit yang CT sangkakan sebelum ini. Kandungan bahan-bahan nya juga amat mudah untuk disediakan, hanya mengunakan tepung ubi, santan, gula dan telur. Memang mudah sekali cuma tepung ubi tersebut perlu disangrai dahulu iaitu digoreng tanpa minyak hingga sedikit kekuningan. CT sarankan lebihkan sedikit sukatan sewaktu menimbang tepung ubi tu sebab selepas disangrai dan ditimbang balik berat tepung akan berkurangan. Tapi CT pulak malas nak berpanas dan berdiri lama-lama kat dapur tu, jadinya CT bakar aje tepung tu dalam oven selama 50 minit. Dan sesekali CT kacau dengan whisk. Kemudian CT sejukkan tepung tu selama 3 jam.


Acuan kuih bangkit dulunya diperbuat dari kayu dengan pelbagai bentuk acuan tetapi kini acuan plastik yang lebih banyak di jual. Tak terkecuali, CT turut menggunakan acuan plastik yang berbentuk kerang. CT rasa kat kampung CT ada tersimpan acuan berbentuk bunga rose dan daun kepunyaan arwah mak CT. Dulu-dulu kami turut menggunakan acuan tu untuk membuat biskut ketuk bila menjelang hari raya. Tapi sekarang ni acuan sebegitu dah semakin dilupakan sebab orang lebih suka menggunakan acuan terap. Kalau teman-teman tak ada acuan macam CT tu, boleh juga gunakan acuan terap biskut biasa untuk membuat biskut bangkit ni.


Resipi ni CT ambil dari blog Mak Lang Azie. CT mintak halal ya Mak Lang Azie. Tapi CT ubah serba sedikit dan CT juga skipped baking powder daripada resepi asal. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Untuk rakan-rakan berbangsa cina semua.. Gong Xi Fa Chai...


Kuih Bangkit @ Biskut Bangkit CNY
Resipi Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
330 gm tepung ubi
4 helai daun pandan - potong kira-kira 3 inci panjang
30 gm shortening
130 gm gula aising
1 biji kuning telur gred A
130 ml santan pekat KARA
Secubit garam

Cara-cara :
1. Dalam kuali goreng tepung ubi dengan daun pandan dengan api kecil sehingga tepung ringan serta sedikit kuning dan daun pandan rangup. Nak lagi mudah bakar dalam oven dengan suhu 160 C selama 50 minit hingga 1 Jam. Buang daun pandan dan ayak tepung ke dalam mangkuk dan biarkan tepung betul-betul sejuk.
2. Pukul gula aising dan kuning telur dengan whisk sehingga ringan dan berkrim dan gula benar-benar sebati.
3. Tambah 100 ml santan dahulu dan pukul rata lagi.
4. Ayak tepung ubi ke dalam mangkuk adunan, tambahkan secubit garam dan perlahan-lahan menguli sehingga doh tidak melekat pada tangan, sambil menambah santan sedikit demi sedikit apabila perlu.
5. Tutup doh dengan kain lembap dan biarkan ia rehat selama kira-kira 30 minit.
6. taburkan sedikit tepung ubi dalam acuan kayu agar adunan tidak melekat. Ambil sedikit doh dan letakkan ia ke dalam acuan. Ratakan adunan serta tekan sedikit dan potong lebihan tepung dengan pisau.
7. Ketuk acuan perlahan-lahan atas kertas minyak hingga keluar adunan dan susun. Biskut bangkit tidak akan mengembang jadi boleh letak rapat sedikit.
8. Bakar dalam ketuhar bersuhu 170C selama kira-kira 20 - 25 minit.
9. Sejukkan 2 minit atas dulang dan pindahkan biskut atas rak dawai. Biarkan biskut sejuk sepenuhnya. Simpan dalam bekas bersih.

Nota: Jika tak pasti biskut sudah masak atau belum, bila makan seketul terasa basah-basah kat tengah biskut tu tandanya biskut belum cukup masak. Bakar lagi atau lebih mudah bakar hingga biskut ada sedikit warna kecoklatan yang menandakan biskut tu dah cukup masak.

CT bersama RASA - Edisi MAC 2013

$
0
0

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung Dapur CT. Rasanya ramai yang mungkin dah mula pulang semula dari kampung setelah bercuti panjang 4 hari sempena CNY. Bagi yang bekerja pastinya juga sudah mula bertugas walaupun anak-anak sekolah masih lagi bercuti. Untuk pengurus (rumahtangga) sepenuh masa macam CT ni, cuti umum ke tak cuti umum ke sama je CT rasa hehehe. Yang pasti, tanggungjawab perlu digalas dengan baik dalam menguruskan rumah-tangga di samping cabaran untuk menguruskan masa dengan baik untuk hal-hal lainnya seperti blogging untuk blog Dapur CT ni.


Untuk entri hari ini, CT sekadar ingin berkongsi kegembiraan walaupun sudah sedikit terlewat kerana kisah dan resepi CT dimuatkan dalam majalah RASA edisi bulan Mac 2013 dan turut dijadikan sebagai Cover Page majalah. Dan untuk pertama kalinya juga aksi CT di dapur turut dimuatkan bersama di atas permintaan pihak penerbitan majalah RASA di samping wajah-wajah ceria dalam foto keluarga CT bersama suami dan anak-anak.

     
 
   

Ada yang bertanya kepada CT, apa rasanya setelah banyak kali resepi dan gambar tersiar dalam Majalah. Bagaimana perasaannya? Bila di ajukan soalan yang sebegitu, CT termanggu sekejap dan cuba memikirkan apa perasaan yang sebenarnya sebab CT tidak pernah terfikir pun tentang perkara ini sebelum ini. Setelah mengambil masa seketika untuk berfikir dan cuba memahaminya secara mendalam, apa yang dapat CT simpulkan adalah perasaan gembira untuk setiap satunya adalah unik. Tiada satu persamaan pun dalam setiap satu darinya dan tidak pernah ada rasa jemu atau bosan sebab dari awal lagi CT telah bertekad untuk terus mengorak langkah ke hadapan dan menjadi lebih baik dari hari semalam. Cuma sebagai insan biasa yang memikul banyak tanggung-jawab, kadang-kadang CT terbatas dengan masa. Namun CT bersyukur dan gembira dengan perjalanan yang telah CT tempuh setakat ini dan semoga CT terus diberi kekuatan untuk berada di laluan yang telah CT pilih ini. InsyaAllah.


Untuk paparan kepada media kali ini, CT berasa puas dan gembira sebab CT turut dapat berkongsi kepada umum wajah-wajah kegembiraan ahli keluarga CT yang merupakan sumber inspirasi untuk CT melahirkan kreativiti dan banyak memberi dorongan dan peransang dalam CT menguruskan blog Dapur CT selama ini. 

Disamping itu, CT juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada lima rakan blogger yang lain yang turut sama disunting untuk paparan media oleh pihak majalah RASA edisi Mac 2013 bersama CT iaitu Che Mat Gebu, Azlita Aziz, Kak Wan, Noorsha dan Penyulawa. Kepada yang belum memiliki majalah RASA edisi Mac ini, sila dapatkan ye sebab dalam keluaran inilah satu-satunya peluang untuk menatap wajah otai blogger masakan Mat Gebu yang sebelum ini sentiasa mengelakkan diri dari di paparkan oleh media disamping kesemua resepi-resepi menarik yang telah dikongsikan oleh mereka.

 

Sebelum CT mengundur diri, CT ingin memohon berbanyak-banyak maaf sekiranya ada antara kata-kata dan celoteh CT samada di blog ini atau di FB yang telah menggores hati tanpa disengajakan. Maklumlah CT hanya insan biasa yang tak lepas dari membuat kesilapan. CT harap, CT akan terus diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk CT terus melahirkan kreativiti dalam perkongsian resepi dan mengemudikan blog Dapur CT ini untuk manfaat semua.

Akhirkata dan tak lupa setinggi ucapan terima kasih juga buat Cik Nani Saudiah Zakir dari pihak majalah RASA yang telah memberi ruang kepada blog Dapur CT untuk paparan bulan Mac ini dan juga untuk keluaran bulan April nanti, InsyaAllah.  

Salam Sayang,

Kuih Nagasari Pandan

$
0
0

Assalamualaikum.. Salam sejahtera dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Apa khabar teman-teman semua. CT harap semuanya sihat sejahtera saja ye. Maklumlah selepas balik daripada musim cuti perayaan yang panjang. Malah sesetengah tu ada yang baru semalam baru pulang dari bercuti. Jadi bila dah balik semula tu, harapnya badan dan minda semakin cergas dan cerdas. Dan semakin bersemangat untuk bertugas dan memulakan hari-hari yang lebih baik. InsyaAllah.


Untuk memulakan hari pertama pada minggu ini, CT kongsikan resepi sarapan pagi kuih tradisional iaitu Kuih Nagasari Pandan. Versi tradisionalnya tidak berperisa pandan dan berwarna putih dan sekadar dibungkus dengan daun pisang seperti membungkus kuih lepat pisang atau lepat ubi. Tetapi versi yang CT buat ni CT ubahkan sedikit penampilannya dengan membungkusnya menggunakan daun pandan seperti acuan Kuih Tepung Pelita dan CT buatkan adunannya berwarna hijau dan berperisa pandan.


Kuih-kuih tradisional begini sedap dan tak jemu  untuk dinikmati berulang-ulang. Cuma ada kuih-kuih tersebut yang kurang menarik rupa dan penampilannya dan kuih nagasari ni salah satu kuih yang tak cantik dipandang mata sebab berbungkus dengan daun pisang. Itu yang kadang-kadang budak-budak kurang tertarik dengan kuih-kuih tradisional seperti ini tetapi lebih menggemari kuih-kuih moden yang menarik penampilannya seperti kek, muffin dan pastri.


Jadi untuk menarik perhatian anak-anak kecil untuk menggemari kuih-kuih tradisional begini, kadang-kadang kita mesti berinovasi sedikit untuk menjadikannya nampak menarik tetapi dalam masa yang sama tidak merosakkan keaslian rasa asalnya. Bila rupa dah nampak menarik pastinya anak-anak juga akan tertarik. Kalau nak hidang pada tetamu yang datang pun nampak sedap dipandang mata. Betul tak, hehe.


Resepi ni adalah salah satu daripada 5 resepi CT yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Mac 2013. Dalam majalah tu cuma diletakkan 1 gambar saja bagi setiap resepi jadi tak terserlah keenakan kuih ni daripada penampilannya. Jika ada yang tertarik dan berminat untuk mencubanya setelah melihatnya di sini, bolehlah semak resepi di bawah ye. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT.. daaaaaa...



Kuih Nagasari Pandan
Resepi Che CT

Bahan-bahan :
1 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung jagung
4 cawan santan sederhana pekat
2 sudu besar gula pasir
7 helai daun pandan - kisar dengan 1 cawan air, tapis airnya
Sedikit pewarna hijau
Sedikit garam
2 biji pisang masak - kukus sebentar

Cara-cara :
1. Sediakan dahulu acuan mangkuk dari daun pandan, ketepikan.
2. Didihkan air dalam periuk kukusan.
3. Satukan tepung beras, tepung jagung, gula pasir, garam, santan, air pandan dan sedikit pewarna hijau. Kacau rata hingga gula larut dan tapis dalam periuk.
4. Masak atas api perlahan dan kacau sentiasa sehingga adunan pekat sedikit. Matikan api dan angkat.
5. Sudukan adunan dalam mangkuk pandan dan letak sehiris pisang masak diatasnya. Buat hingga habis dan kukus 10 minit dengan api perlahan. Sejukkan baru dihidang.


Nasi Hujan Panas dan Ayam Masak Habang

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam manis buat semua teman-teman serta pengunjung setia blog Dapur CT, moga semuanya sentiasa ceria hendaknya. Sebagai kesinambungan dari resepi pembuka selera atau appetizer yang CT kongsikan pada hari Isnin lepas, hari ini CT kongsikan resepi untuk hidangan utama pula iaitu resepi Nasi Hujan Panas dan Ayam Masak Habang yang juga disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Mac 2013.


Nasi hujan panas ni kerap kali juga CT buat sebab ini adalah salah satu nasi kegemaran anak bongsu CT dan Haqim gelarkan nasi ni, nasi warna warni disebabkan kombinasi warnanya yang terang. Untuk hidangan, nasi hujan panas ni boleh dilawankan dengan apa saja lauk kegemaran masing-masing. Untuk CT pulak, biasanya CT akan gandingkan bersama ayam masak merah, rendang daging / ayam atau daging masak kicap berempah.

Tapi kali ini CT gandingkan bersama lauk Ayam Masak Habang / Ayam Masak Sambal Merah  dan Daging Masak Beriani. Resepi Daging Masak Beriani tu CT kongsikan pada hari yang lain nanti ye. Untuk resepi Ayam Masak Habang / Ayam Masak Sambal Merah ni, bahan-bahannya boleh dikatakan agak ringkas juga. Resipi ni di inspirasikan dari blog seorang wanita bernama Lee Mei yang katanya berasal dari seorang wanita Indonesia. Menurut katanya lagi, resipi ini adalah masakan tradisional orang Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia.  Dan kalau mengikut dari resepi asal, menu ni dimasak sedikit pekat, tapi CT lebih suka ianya lebih berkuah jadi CT lebihkan sedikit airnya.


Selalunya setiap kali bila CT cuba resipi baru, CT akan tanya pendapat anak-anak setelah anak-anak selesai menikmatinya. Kalau anak-anak kata sedap bermakna memang betul sedaplah tu. Tapi kalau katanya okeylahhh... maksudnya biasa-biasa ajelah sedapnya tu. Percubaan pertama memasak resipi ni, anak-anak kata sedapppp. Jadi berbaloilah percubaan pertama ni hehehe.

Sebelum CT berundur diri, CT ingin ucapkan terima kasih pada penyumbang asal resipi ini yang memberikan satu lagi resepi baru untuk CT terus mengulangnya lagi nanti buat hidangan keluarga tersayang. Pada teman-teman lain yang ingin mencubanya juga, silakan  lah ye, kita panjangkan lagi dalam senarai menu seharian kita. Sampai jumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa.....


Nasi Hujan Panas

Bahan-bahan :
4 cawan beras basmati
5 cawan air
1 cawan susu cair
2 sudu besar minyak sapi
1 biji bawang besar - dimayang halus
3 ulas bawang putih - dimayang halus
1/2 inci halia - dimayang halus
Sedikit garam
1 kiub ayam
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum cengkih
3 biji buah pelaga - ketuk sedikit
2 helai daun pandan - disimpul
Pewarna hijau, kuning dan merah

Daun ketumbar diracik halus - untuk hiasan

Cara-cara :
1. Basuh beras sehingga bersih, rendam selama 15 -20 minit. toskan beras.
2. Panaskan mintak sapi dalam periuk rice cooker.
3. Masukkan kayu manis, bunga lawang, cengkih, buah pelaga, bersama bawang besar, bawang putih, halia yang dimayang halus bersama daun pandan, goreng sehingga wangi. Kemudian masukkan kiub ayam kacau rata sebentar.
4. Kemudian masukkan beras dan secubit garam dan kacau rata. Matikan api dan angkat.
5. Masukkan air dan susu cair kacau rata dan masak nasi seperti biasa.
6. Bila nasi hampir kering buat beberapa lubang dan titiskan pewarna.
7. Tunggu sehingga nasi betul-betul masak dan gemburkan dengan garfu sebelum dihidangkan.




Ayam Masak Habang (Ayam Masak Sambal Merah)

Bahan-bahan :
1 ekor ayam - potong 12
1/2 biji jus lemon
1 helai daun limau purut
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 cawan air
1/3 cawan minyak masak

Bahan Kisar Halus :
1 inci halia segar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

3/4 cawan cili kisar
1 sudu besar gula merah
1 inci belacan bakar - larut dengan sedikit air asam jawa
1 sudu besar kicap manis

Kacang pis - hiasan

Cara-cara :
1. Bersihkan ayam, lumur dengan sedikit jus lemon dan perap 15 minit. Bilas toskan airnya dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, daun limau purut, bahan kisar halus dan kacau sehingga wangi.
3. Masukan cili kisar serta bahan-bahan yang lain dan gaul rata dan biarkan hingga pecah minyak.
4. Masukkan ayam gaul rata sehingga bersatu dengan rempah dan perlahankan api. Bila ayam berubah warna, masukkan air dan gaul rata. Masak hingga kuah pekat sedikit, perasakan dengan garam dan bolehlah diangkat dan taburkan dengan kacang pis. Hidangkan.


Pudding Jelly Peach

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam pagi buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT.  CT harap semuanya sihat dan ceria selalu ye. Maklumlah hari ni hari Jumaat, esok dan lusa dapatlah merehatkan badan dan minda untuk dua hari kan. Bagi sesetengah orang tu, cuti hujung minggu macam ni memang sesuatu yang dinantikan setelah 5 hari penat bekerja, betul tak.


Okeylah, CT terus kepada resepi yang CT nak kongsikan hari ini ye. Hari Isnin lepas, CT kongsikan resepi pembuka selera. Kemudian CT kongsikan resepi hidangan utama. Hari ini pulak, CT kongsikan resepi pelengkapnya iaitu resepi pencuci mulutnya. Barulah lengkap kan hehehe. Bagi yang sudah memiliki Majalah RASA keluaran bulan Mac 2013 pasti sudah tahu yang ini adalah salah satu dari 5 resepi CT yang telah disiarkan.


Di dalam majalah cuma ada sekeping gambar saja, tak puas melihatnya. Jadi di sini dapatlah CT kongsikan rupa hasil kejadiannya dengan lebih lagi. Tak dapat cuci mulut dengan merasanya, dapat cuci mata aje pun jadi lah kan. Hidangan dessert seperti pudding atau agar-agar ni memang hidangan dessert kegemaran keluarga CT. Kalau lebih dari seminggu atau dua minggu tidak ada, mesti suami akan kata lamanya tak buat pudding sejuk-sejuk.  Haa... maknanya gesa CT suruh buatlah tu hehehe.


Pudding yang CT buat ni sebenarnya biasa aje, tapi nampak menarik pulak bila CT gabungkan antara agar-agar biasa dengan agar-agar bersusu. Idea tercetus bila CT belek-belek semula resipi agar-agar yang pernah CT buat dalam blog Dapur CT ni sebelum ni. Terus CT terfikir untuk cuba gabungkannya menjadi satu.


Bagi yang perasan, CT suka menggunakan buah pic sebagai bahan dalam kebanyakan pudding yang CT buat berbanding buah yang lain. Itu disebabkan CT suka dengan rasa buah pic bila digandingkan dengan dessert yang sejuk. Tapi kalau ada teman-teman yang menggemari buah yang lain, ikutlah selera masing-masing kalau nak cuba resepi ini ye. Asalkan sedap dan cantik di mata, boleh saja mengubah hasil kejadiannya sesuai dengan selera kita. Satu lagi, dessert yang dihasilkan dengan cantik juga sesuai untuk dijadikan sebagai hantaran atau pelengkap hidangan di meja pengantin. Tiga bulan lagi anak saudara CT di JB nak kahwin, jadi bolehlah nanti CT buatkan untuk dia, InsyaAllah.


Okeylah, CT berhenti setakat di sini dulu ye. Semoga apa yang telah CT kongsikan sepanjang minggu ini dapat memberi idea dan juga manfaat buat teman-teman yang ingin mencuba. Salam manisss dari CT, terima kasih sebab sudi singgah di blog Dapur CT. Sampai jumpa lagi nanti. Daaa....

Pudding Jelly Peach

Bahan Jelly :
2 sudu besar jelly serbuk - plain
100 gm gula pasir
400 ml air
sedikit pewarna hijau

Bahan Puding :
1 bungkus agar-agar serbuk - plain
100 gm gula pasir
250 gm buah peach dalam tin - blender halus
700 ml susu cair

100 gm buah peach - potong dadu

Cara membuat Jelly :
1. Basahkan acuan dahulu dan taburkan buah peach yang didadu didalam nya, ketepikan.
2. Satukan gula pasir, serbuk jelly dan air dalam periuk serta pewarna hijau dan kacau perlahan-lahan dengan api sederhana sehingga mendidih. Angkat.
3. Senduk perlahan-lahan jelly dalam acuan tadi dan biarkan jelly mengeras sedikit.

Cara membuat Puding :
1. Satukan gula pasir, serbuk agar-agar dan susu cair dalam periuk. Masak dengan api sederhana dan kacau sentiasa sehingga mendidih.
2. Masukkan buah peach yang diblender dan kacau rata. Angkat.
3. Senduk perlahan-lahan diatas jelly tadi sehingga habis. Biarkan puding suam dan sejukkan dalam peti sejuk. Hidang dingin.



OKI Feb 2013 & RV Rocky Stick Cake

$
0
0

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Nampaknya minggu ni CT bersiaran di tengah-tengah minggu. Selalunya entri permulaan CT pada setiap minggu bermula pada hari Isnin, tapi untuk minggu ni, entri pertama CT ialah pada hari Rabu.


Sebenarnya, CT berkejar juga cuba untuk publish pada Isnin lepas tapi tak berkesempatan. CT sibuk sikit pada hujung minggu lepas disebabkan ibu mertua dan anak-saudara CT datang dari JB. Hari Isnin pagi baru diaorang balik. Disebabkan itulah CT terlepas kesempatan untuk update entri seperti biasa.


Okeylah, kita kembali semula kepada entri yang CT update hari ini ye. Tajuk entri CT hari ni "OKI Feb 2013 & RV Rocky Stick Cake". Tajuk sebenarnya ialah "Open Kitchen Italy - Februari 2013 dan Red Velvet Rocky Sticky Cake"... haa panjang kan? Sebab tu lah CT pendekkan tajuk tu jadi macam kat atas hehehe.


Resepi yang CT kongsikan hari ini ialah resepi CT yang telah CT kongsikan kepada pihak Majalah Open Kitchen Italy keluaran bulan Feb 2013. Red Velvet Cake ni dah banyak kali CT buat sebelum ni. Tapi untuk yang CT kongsikan pada pihak Open Kitchen, CT buat pembaharuan sikit pada persembahannya dengan menggunakan biskut Rocky Stick berperisa Strawberry sebagai salah satu bahan hiasannya.


Idea CT menggunakan biskut ini adalah untuk melengkapkan tema cinta di dalam konsepnya. Untuk toppingnya, CT taburkan crumbs lebihan kek tersebut dan kemudian CT paipkan coklat masakan membentuk lambang hati. Untuk melengkapi keseluruhan konsep, itu yang CT susunkan biskut Rocky Stick yang membentuk seperti pagar disekeliling kek. Kiranya ini macam hati yang telah dipagar oleh cinta lah ni hehehe. Disamping cantik sebagai hiasan, sedap juga untuk dinikmati kan.


Okeylah, cukuplah CT berceloteh sampai di sini dulu. Kalau CT nak jamu dengan kek ni pun dah lama habisnya, jadi cukuplah jamu mata dengan gambar-gambar yang CT kongsikan ye..hehe. Kalau ada yang berminat nak mencuba, bolehlah semak resepi kat bawah tu. Tapi CT mintak maaf sebab resepinya dalam bahasa Inggeris, kalau perlu alih bahasa, teman-teman gunakan Google Translate ye. Okeylah, sampai kita jumpa lagi nanti, salam sayang dari CT.. daaaaa...



Red Velvet Rocky Stick Cake

Ingredients :

2 1/2 cups all-purpose flour
1 1/2 cups sugar
1 teaspoon baking soda
1 teaspoon salt
1 teaspoon cocoa powder
1 1/2 cups vegetable oil
1 cup buttermilk, room temperature
2 large eggs, room temperature
2 tablespoons red food coloring
1 teaspoon white vinegar
1 teaspoon vanilla extract

6 quantity packets of strawberry cream pocky

Instructions :

1. Preheat oven to 180 C. Grease and flour 8 inch cake pans.
2. In a medium mixing bowl, sift together the flour, sugar, baking soda, salt, and cocoa powder. Set aside.
3. Lightly stir eggs in a medium bowl with a wire whisk. Add the oil, buttermilk, eggs, food coloring, vinegar, and vanilla with a handheld electric mixer. Add the sifted dry ingredients to the wet and mix until smooth and thoroughly combined.
4. Pour into cake pans and then drop the pans on the counter a few times to release any air bubbles. Bake for about 30-35 minutes or until a toothpick inserted comes out clean.
5. After about ten minutes, remove from pans and cool completely on a wire rack. Then make the frosting.



Cream Cheese Frosting

Ingredients :

1 cup cream cheese, softened
1/2 cup butter, softened
1 teaspoon vanilla extract
4 cups sifted confectioners' sugar

Instructions :

In a large mixing bowl, beat the cream cheese, butter and vanilla together until smooth. Add the sugar and on low speed, beat until incorporated. Increase the speed to high and mix until very light and fluffy.

Daging Masak Beriani

$
0
0

Assalamualaikum... Selamat bertemu kembali buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Alhamdulillah, semoga semuanya sihat-sihat dan tak ada yang sakit atau pening ye. Maklumlah cuaca sekarang ni panas semacam! Kesian pada yang alah dengan cuaca macam ni. Tapi tak tahulah kalau itu cuma kat KL aje tapi kat tempat lain tak panas sebenarnya. Yang pasti kat KL ni memang panas betul. Semoga dua tiga hari nanti diturunkan hujan buat menyejukkan bumi KL ini hendaknya.


Hari ini CT kongsikan resepi tertinggal keretapi hehehe. Yang CT maksudkan ialah resepi kelima yang disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Mac 2013. Empat resepi yang lain telah CT kongsikan pada 2 minggu yang telah lepas. Resepi Daging Masak Beriani ni pulak yang ketinggalan keretapi. Baru hari ni dapat tiket untuk berlepas hehe. Tapi bagi yang lebih menggemari ayam, boleh juga digantikan daging tu dengan ayam. Sebab anak-anak CT pun macam tu, lebih gemarkan ayam. Tapi bagus juga macam tu, taklah berebut hidangan dengan ayah dan mamanya kan hehe.


Resipi Daging Beriani ni lebih enak jika digandingkan dengan nasi beriani. Maklumlah, namanya pun beriani kan. Tapi kalau teman-teman nak gandingkan dengan nasi lain pun apa salahnya ye tak. Ikutlah selera tekak masing-masing. Resepi ini pernah CT cuba sekali dulu bersumberkan resepi dari blog Mat Gebu. Kalau tak silap CT, resipi asalnya ialah dari Kak Hanieliza. Tapi kalau CT silap, CT mintak maaflah ye. Apa pun, CT ucapkan terima kasih pada penyumbang resipi asal. 

Jika ada yang teringin untuk mencuba resepi ini, sila sila lah ye. Kita panjangkan keenakan hidangan ini di dapur teman-teman pula. Okeylah, CT berhenti di sini dulu ye. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Daging Masak Beriani

Bahan-bahan :
600 gm daging lembut
4 sudu besar rempah beriani - bancuh dengan sedikit air
1 cawan yogurt plain
2 sudu besar tomato puree
3 biji kentang - potong kecil
3 biji buah tomato - mesinkan dengan 2 cawan air
8 biji buah tomato ceri
2 batang lada merah - belah dua
2 batang lada hijau - belah dua
2 labu bawang besar - hiris bulat
1 pokok daun ketumbar - hiris kasar
garam secukup rasa

Bahan kisar halus :
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia

Bahan tumis :
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 tangkai daun kari

sedikit minyak masak untuk menumis

Cara-cara :
1. Daging dibersihkan, potong kiub dan tos airnya. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis sehingga wangi.
3. Masukkan bahan kisar dan rempah berani yang  dibancuh dengan sedikit air serta daging tadi. Kacau rata dan biarkan sehingga naik minyak.
4. Masukkan buah tomato yang telah dimesin dengan air dan juga tomato puree. Biarkan sehingga daging empuk.
5. Masukkan kentang dan yogurt. Masak sehingga kuah pekat dan naik minyak. Kacau sekali sekala.
6. Masukkan buah tomato ceri, lada merah dan lada hijau, bawang besar dan juga daun ketumbar. Perasakan garamnya dan angkat.
7. Hidangkan dengan nasi beriani atau nasi kegemaran yang lain.



Moist Banana Muffin

$
0
0

Assalamualaikum ... Salam mesra dan salam penuh keceriaan dari CT buat teman-teman semua. Mulakanlah hari kita dengan senyuman agar hari yang dilalui kekal ceria berpanjangan. Tak lupa juga ucapan syukur dan terima-kasih pada yang esa, semoga dilimpah rahmat kehidupan kita. Begitu juga, CT ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih diatas kesudian teman-teman yang setia berkunjung dan meninggalkan komen yang manis di blog Dapur CT, Alhamdulillah.


Rasanya sudah agak lama juga CT tidak berkongsi hidangan muffin di Dapur CT. Kebanyakan masa CT buat tak banyak jumlahnya. Dan bila CT membuatnya pada malam hari untuk sarapan esok pagi buat suami dan anak-anak, pastilah tak sempat untuk CT abadikan gambar-gambarnya untuk dikongsikan di sini sebab dah habis. Tapi kali ni, CT ulang buat dua kali jadi dapatlah banyak sikit hasilnya.


Muffin pisang yang CT kongsikan resepinya ini hasil yang dibakar kali keduanya. Yang pertama dibakar waktu petang mengikut resipi asal, dan yang kali keduanya pula CT bakar awal pagi setelah diolah sikit bahannya mengikut selera kami sekeluarga. Muffin pisang ni walaupun dibiarkan seharian tapi ianya tetap lembut. Bila CT tanyakan pada anak-anak tentang rasanya, komen anak-anak ringkas aje.. "sedap!". Maknanya betullah sedap tu.. hehehe.


Keinginan nak membuat muffin pisang ni mulanya kerana terpandang pisang kat dapur tu yang dibeli hujung minggu lepas yang kulitnya sudah mula bertukar gelap. Jadi sebelum ianya rosak, tu yang CT  terus cari resipi di Google dan terjumpa resipi banana cake. Tapi nak senangkan kerja, CT tukar jadi muffin. Senang sikit nak makan, tak payah nak dipotong-potong. Tapi kalau nak buat versi kek, gunakan loyang 6 inci dan bakar selama 40 minit.


Untuk resipi yang CT olah ni, CT tambah badam cincang, coklat masakan yang dipotong dadu besar serta 1 sudu besar madu didalam adunannya untuk menambahkan perisa. Untuk minyaknya pula, CT gunakan minyak jagung. Tapi kalau teman-teman nak gunakan minyak masak biasa pun boleh juga.


Kejadian muffin ni memang tidak menghampakan dan rasanya menepati selera kami sekeluarga. CT ucapkan terima kasih pada penyumbang asalnya, minah saleh yang sudi berbagi ilmu untuk CT mencubanya pula dan dipanjangkan lagi disenarai Dapur CT. Bagi yang mengemari hidangan yang berasaskan pisang bolehlah mencuba ya. CT mohon berundur diri dulu, sampai kita berjumpa lagi nanti. Salam manisss dari CT. Daaa....


Muffin Pisang Lembut / Moist Banana Muffin

Bahan basah :
1 biji telur gred A - suhu bilik
75 gram gula kastor
1 sudu besar madu
1 sudu besar susu segar
1 sudu kecil esen vanila / pisang
90 ml minyak jagung / minyak masak
3 biji pisang masak (150 gram) - dilecek halus

Bahan kering :
125 gram tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh serbuk kayu manis
3 sudu besar badam cincang - dipanggang dalam oven 5 minit

30 gram coklat masakan - dadu besar

Cara-cara :
1. Panaskan oven pada suhu 175' C susun kertas muffin dalam loyang muffin dan ketepikan.
2. Pukul gula dan telur sehingga ringan dan berkrim dengan kelajuan sederhana. Masukkan bahan-bahan basah dan putar pada kelajuan perlahan hingga rata.
3. Tambah bahan-bahan kering yang telah diayak kedalam bahan basah dan kaup balik rata dengan spatula. Tidak perlu lama cukup sekadar sebati sahaja.
4. Scoopkan adunan 1/3 dalam kertas muffin masukkan coklat masakan ditengahnya dan scoopkan adunan lagi untuk menutupnya.
5. Bakar selama 25 minit atau sehingga diuji lidi keluar bersih. Biarkan sejuk diatas rak dawai sepenuhnya. Ayakkan gula aising sebelum dihidangkan.



CT bersama RASA - Edisi April 2013

$
0
0

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia dapur CT. Alhamdulillah bersua kita kembali di hari pertama minggu kedua bulan April. CT harap teman-teman semuanya sihat dan ceria selalu ye. Untuk entri pertama minggu ini CT tidak berkongsi resepi tapi CT sekadar berkongsi sedikit kisah kegembiraan CT saja ye.


Buat kali yang kedua, Majalah RASA telah sekali lagi memaparkan 5 resepi dari CT untuk Majalah RASA keluaran bulan April 2013. Untuk keluaran bulan April ini, pihak RASA meminta dari CT resepi lauk-pauk berserta pembuka selera dan pemanis mulut berkonsepkan desa dan tradisional. Namun demikian, pihak RASA mahukan penampilan yang ceria dan colourful. CT termenung sejenak nak mencari idea dan setelah membelek sana belek sini buku nota resepi CT akhirnya lahirlah idea untuk berkongsi 5 resepi seperti yang telah dipaparkan.

   

   

Pada keluaran ini juga, resepi CT telah sekali lagi menjadi penghias kulit depan majalah. Cabaran terbesar bila diminta untuk menghasilkan gambar untuk menghiasi kulit majalah adalah kesemua hidangannya mesti disediakan serentak untuk membolehkan kesemua hidangan diambil gambarnya secara berkumpulan. Cabaran tersebut pastinya ialah masa untuk menyediakannya. Masa CT buat kesemua hidangan ni, lepas subuh aje CT dah mulakan kerja di dapur. Lepas tu, bila dah siap habis penat memasak, kena kerjakan sesi mengambil gambarnya pulak. Memang mencabar. Nasib baiklah masa CT buat tugasan ni, CT buat masa suami cuti. Kalau tak memang pengsan jadinya. Mana taknya. Kebiasaannya CT menghabiskan masa lebih kurang 2 jam lebih untuk sesi foto untuk setiap masakan, jadi kalau dah 5 resepi bayangkanlah masa yang CT perlukan. Nasib baik hubby ada sama untuk tolong bagi idea tentang susun-atur dan penggayaannya jadi cepatlah sikit kerja CT. Alhamdulillah.


Selesai tugasan untuk bulan April ini, telah siap menunggu tugasan untuk bulan yang lain pula nanti. Harap-harapnya CT diberi kesihatan yang baik. Kalau tidak, memang tak menjadilah semua yang dirancang. Sebelum CT mengundur diri, CT ingin mengucapkan ribuan terima-kasih buat semua teman-teman yang telah memberi sokongan buat CT selama ini. Tak lupa juga rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada semua rakan-rakan maya yang sealiran dalam food blogging ini yang mana ada diantara resepinya memberikan idea dan inspirasi kepada resepi inovasi CT. Akhir kata, semoga kita semua mendapat manfaat yang terbaik darinya, insyaAllah.

Salam sayang,

Apam Beras Tradisional

$
0
0

Assalamualaikum ... Bersua kembali di pagi hari rabu yang ceria semoga hari ini membawa kebahagiaan sepanjang hari buat kita semua. Sebagai kesinambungan kepada entri CT pada hari Isnin lepas, hari ini dan empat hari lagi yang berikutnya nanti, CT akan kongsikan secara marathon kesemua 5 resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013 tersebut ye.


Sebelum CT berbicara lebih jauh, CT ingin merakamkan ucapan terima-kasih buat dua individu yang telah memberi kepercayaan penuh kepada CT untuk terus menyumbang nukilan resepi CT kepada pihak penerbitannya. Dua individu tersebut yang CT maksudkan itu ialah Siti Nani Saudiar dan Nur Seda Abdul Rani yang merupakan wartawan kepada Majalah RASA. Harapan CT, semoga kerjasama CT bersama pihak Kumpulan Karangkraf am nya dan Majalah RASA khususnya akan terus berpanjangan.


Untuk entri pertama daripada 5 entri yang CT akan kongsikan seperti tajuknya hari ini ialah Apam Beras gaya tradisional. Al maklumlah sekarang ni apam beras sudah banyak yang di inovasikan rupa dan gaya penampilannya dari yang berbelang-belang hinggalah kepada polkadot dan sebagainya. Apam yang CT kongsikan ni merupakan versi tradisional cuma warnanya agak terang sedikit. Kalau apam yang betul-betul tradisional, warnanya lebih kepada warna pastel. CT buatkan apam ni warnanya lebih menyerlah di atas permintaan pihak editor yang mahukan resepi keseluruhan yang meriah warna. Jadinya CT turutkan lah permintaan tersebut.


Kuih apam beras ni merupakan salah satu kuih tradisional kegemaran keluarga CT dan sudah berulang-ulang kali CT membuatnya. Selain dari pembuatannya yang mudah, kuih ini juga sedap dinikmati samada sebagai hidangan sarapan pagi ataupun dinikmati bersama secawan teh atau kopi panas untuk minum petang. Kepada yang belum pernah membuatnya tentu menyangka yang cara membuatnya agak susah tetapi hakikatnya kuih ini adalah antara kuih tradisional yang mudah untuk disediakan. Jadi pada yang belum pernah mencuba tu, CT sarankan supaya mencubanya. Tak cuba pasti tak tahukan.


Okeylah, untuk tidak berbicara lebih panjang lagi, CT akhiri bicara CT sampai di sini dahulu. Lagi pun fikiran CT agak serabut sedikit disebabkan musibah yang menimpa kakak yang paling rapat dengan CT kerana suaminya ditimpa stroke dan masih tidak sedarkan diri di ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. CT doakan semoga kakak CT, kak Jamaliah tabah menghadapi dugaan ini dan semoga suaminya yang tersayang, abang Hamzah pulih seperti sediakala hendaknya, InsyaAllah.. aminnnnn.


Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss buat teman-teman yang sudi singgah di blog Dapur CT. Salam sayang untuk semua... daaaa....


Apam Beras Tradisional

Bahan-bahan :
2 cawan nasi sejuk
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan brown sugar
3/4 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
2 sudu kecil yis kering - mauripan

pewarna makanan
Kelapa parut putih dikukus - gaul dengan sedikit garam

Cara-cara :
1. Blend nasi dan air sehingga hancur. Setelah hancur, campur brown sugar dan gula ke dalamnya dan blend sehingga sebati.
2. Dalam bekas lain, satukan tepung gandum, tepung beras dan yis. Kacau rata.
4. Masukkan bahan cecair tadi ke dalam bekas tepung. Kacau sehingga sebati.
5. Perap selama 3 jam.
6. Didihkan air dalam pengukus dan balut penutupnya dengan kain bersih.
7. Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
8. Ambil sedikit adunan ke dalam mangkuk kecil. Masukkan beberapa titik pewarna yang digemari dan kacau rata-rata.
9. Masukkan adunan dalam acuan kecil dan kukus selama 15 minit dengan api besar.
10. Hidang bersama kelapa yang telah di gaul dengan sedikit garam.




Ayam Opor Hijau

$
0
0

Assalamualaikum... Salam penuh keceriaan dari CT buat semua pengunjung setia Dapur CT di hari Jumaat yang mulia ini. Apa khabar teman-teman semua hari ni dan bagaimana dengan cuaca ditempat teman-teman agaknya ye. Nampak pada gayanya cuaca ditempat CT, bumi KL yang bertuah ini, cuaca panas yang berpanjangan dah beransur-ansur di sulami dengan basahan hujan sekali-sekala. Alhamdulillah terasa sedikit kedinginanya terutama pada waktu malam. Kuranglah sedikit keluh-kesah kerana kepanasan hehe.


Hari ini CT kongsikan resepi kedua yang telah di siarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013. Resepi ini adalah resepi baru yang belum pernah CT cuba sebelum ini. Tapi kalau ada yang nak mintak merasa, CT minta maaf dulu awal-awal sebab dah lama habis hehehe.


Resipi Ayam Opor Hijau ni diinspirasikan oleh resepi lama yang CT rujuk dari salah satu buku masakan yang sudah lama berada dalam simpanan CT iaitu dari Majalah Saji keluaran tahun 1997. Resepi asalnya ialah Daging Opor Hijau yang dikongsikan oleh chef selebriti terkenal iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Chef Wan. CT suka mendengar celoteh mesra dan ramah mulut chef Wan ni bila mengacara rancangan masakan di TV. Dan yang pasti nama Cik Jah, Bedah dan Senah sering kali terkeluar dalam setiap dialog yang beliau sebut, bertuah betul badan Cik Jah, Bedah dan Senah tu kan hehehe.


Bahan utama dalam resepi ini adalah cili hijau, daun ketumbar dan belacan yang dibakar terlebih dahulu. Jika tidak ada bahan-bahan ni maka tak sempurnalah rasa lauk opor ayam ni. Bagi yang bakal mencuba resepi ni nanti pasti bersetuju bila CT kata yang hidangan ni memang sedap. Sebaik saja CT siap masak dan selesai sesi mengambil gambarnya, tak sabar-sabar kami sekeluarga terus mengadap hidangan ini dan komen dari suami "sangat sedapppp!" kembang semangkuk rupa Che CT waktu tu, Alhamdulillah hehehe.


Sebelum CT menutup bicara, CT ingin memanjangkan ucapan terima kasih pada Chef Wan diatas perkongsian resipi Opor Hijau ini. Dan memanjangkan lagi testimoni keenakan hidangan ini ialah sewaktu anak saudara serta IBU mertua datang kerumah beberapa hari selepas percubaan yang pertama untuk Majalah RASA tu, CT sempat menyediakan hidangan ini lagi sebagai lauk makan malam untuk tetamu yang datang. Sebelum balik, anak saudara CT tak segan silu terus mintak resipi untuk disalin hehehe. Okeylah, pada yang berminat untuk merasa keenakan hidangan ini, kenalah cuba sendiri ye.


Sebelum berundur diri, terima kasih kerana sudi menceriakan Dapur CT ye. Sampai kita jumpa lagi nanti, salam sayang dari CT.. daaaa.....


Ayam Opor Hijau

Bahan-bahan :
1 ekor ayam - dipotong 12
2 biji terung bulat - potong dadu besar
2 1/2 cawan santan - dari sebiji kelapa
1/4 cawan minyak masak
garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar Halus :
100 gm cili hijau - buang bijinya
1 labu bawang besar
8 biji bawang merah
4 tangkai daun ketumbar
2 cm halia
2 batang serai
2 helai daun limau purut - buang uratnya
1 inci belacan
2 sudu besar ketumbar biji - sangrai dan ditumbuk kasar
1 sudu besar jintan manis - sangrai dan ditumbuk kasar
1 sudu besar rata lada putih biji - ditumbuk kasar

2 batang cili merah - belah dua
Daun ketumbar - hiris kasar

Cara-cara :
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan kisar sehingga terbit baunya. Masukkan ayam kacau rata, tutup periuk dan biarkan 5 minit biar ayam serap rempah dan empuk.
2. Masukkan santan dan biarkan mereneh selama 20 minit dengan api sederhana.
3. Masukkan terung, bahan tumbuk kasar, cili merah dan daun ketumbar. Teruskan memasak selama 3 minit atau lebih.
4. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Angkat dan hidang dengan nasi kegemaran.



Bubur Sum-Sum

$
0
0

Assalamualaikum... Salam pagi Isnin buat teman-teman semua. CT harap semoga hari ini, hari permulaan untuk minggu ini bermula dengan ceria. Dan semoga keceriaan hari ini berpanjangan untuk sepanjang minggu ye. Kalau terasa seperti ada Monday Blues awal-awal pagi ni, cepat-cepatlah pulihkan mood blues tu ye. Jangan sampai berlarat sepanjang hari, nanti berlarat sepanjang minggu pulak hehehe


Entri permulaan untuk minggu ini, CT kongsikan resepi ketiga dari lima resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013, hidangan yang bersesuaian sebagai desert atau pemanis mulut iaitu Bubur Sum-sum. Nama bubur sum-sum ini adalah nama tradisionalnya. Tapi mengikut peredaran zaman, selain dari bahan-bahan asalnya yang turut diolah serba-sedikit, namanya pun sudah turut dikomersialkan sedikit. Kini, selain dipanggil bubur sum-sum, ada juga yang memanggilnya puding sum-sum. Agaknya kalau dipanggil puding tu nampak macam glamor sikit kot.


Pada asalnya, bubur sum-sum hanya mengunakan adunan tepung beras yang dicampur santan cair dan sedikit garam. Dengan bahan yang asas begini, hasilnya adalah bubur sum-sum yang agak pejal. Jika mahukan tekstur yang lebih lembut, sukatan santannya dipekatkan sedikit. Selain dari itu, bubur sum-sum yang asal dinikmati bersama air gula jernih yang dicampurkan sedikit bunga cengkih. Namun kini, ada yang menghidangkannya bersama air gula melaka. Kepelbagaian begini berlaku bilamana sesuatu hidangan tersebut divariasikan mengikut citarasa masing-masing. 


Masa zaman dulu-dulu, bubur sum-sum ni adalah salah satu pemanis mulut yang paling mudah dan ringkas untuk disediakan dan dinikmati. Adunannya ringkas dan setelah siap diadun terus saja dituang kedalam loyang. Untuk hidangan pula, tak perlu dipotong-potong tetapi diceduk saja samada menggunakan sudu atau senduk kedalam mangkuk. Tapi sekarang ni penampilannya dah berubah sedikit. Ada sesetengah orang yang membuatnya dalam acuan-acuan yang comel dan cantik untuk membuatnya nampak lebih menyelerakan. Orang-orang tu termasuklah diri CT juga hehehe.


Biasanya bila CT buat bubur sum-sum ni, CT akan buat banyak-banyak, kemudian stok kan dalam peti sejuk. Itu yang anak-anak tak henti-henti asyik bukak tutup peti sejuk tu sepanjang hari. Tau-tau aje bila CT tengok sebab CT nak makan, dah habis dah. Sabar ajelah. Kepada sesiapa yang sedang tercari-cari idea untuk membuat desert yang senang untuk dibuat, semoga resepi yang CT kongsikan ini memberikan idea untuk mencubanya ye.


Okeylah CT berhenti setakat di sini dulu. Sampai bertemu lagi nanti, salam manisss dari CT. Sampai berjumpa lagi nanti, salam manis dari CT... daaaa....

Bubur Sum-Sum

Bahan-bahan :
1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung jagung
300 ml santan Pekat
500 ml air
1 cawan susu cair
1/2 sudu kecil garam halus
7 helai daun pandan - perah ambil jusnya
Sedikit pewarna hijau

Bahan Sirap Gula :
1 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan - disiat dan simpul
3 kuntum bunga cengkih

Cara-cara  
1. Masak sirap gula hingga gula larut sengan api sederhana. Sejukkan.
2. Satukan kesemua bahan-bahan dalam periuk dan gaul rata. Tapiskan adunan dan kacau sentiasa dengan senduk kayu hingga pekat dan kilat. Hingga adunan meletup-letup.
3. Tuang adunan ke dalam loyang atau acuan yang dibasahkan dahulu dan sejukkan.
4. Hidang sejuk bersama sirap gula.

Opor Nangka Muda

$
0
0

Assalamualaikum... Apa khabar hari ini, semoga teman-teman sentiasa sihat, ceria dan bahagia disisi keluarga dan insan-insan terchenta. Alhamdulillah syukur sebab CT juga diberi kesihatan yang baik, walau pun kadang-kadang tu rasa macam kaki cepat lenguh dan tumit sakit bila berdiri agak lama didapur. Mungkin itu tanda yang kita dah berusia kot hehehe. Namun itu semua bukan alasan untuk tidak meneruskan tugas seharian CT sebagai suri rumah tangga sepenuh masa seperti biasa.


Resepi yang CT kongsikan pada hari ini adalah resepi keempat dari lima resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013 iaitu Opor Nangka Muda. Bercakap tentang buah nangka, salah satu buah tradisional yang dinikmati bukan setakat ketika ia belum masak untuk dijadikan lauk, malahan selain dinikmati segar setelah ianya ranum, ianya juga turut dijadikan bahan dalam membuat kuih muih dan pengat. Selain dari buahnya, bijinya juga turut boleh dimakan. Masa zaman CT budak-budak dulu, arwah mak CT akan rebus biji nangka ni sampai empuk dan dituang kedalam tapis dan kami adik-beradik akan duduk mengadap makan ramai-ramai hingga habis. Rasanya seakan-akan buah berangan. Maklumlah zaman tu kami semua orang susah, biji nangka pun habis dimakan hehehe.


Berbalik pada menu Opor Nangka Muda ni, resipi ni sebenarnya CT dapat daripada kakak CT. Kiranya ini adalah resipi turun-temurun keluarga CT dan CT perturunkan pula di blog kesayangan CT ini pula untuk dikongsikan kepada semua. Manalah tahu suatu hari nanti anak-anak CT terasa nak memasak hidangan ni untuk keluarga masing-masing nanti, bolehlah rujuk di blog mama dia ni. Bahan utama resepi ini adalah nangka muda yang direbus sehingga betul-betul empuk kemudian dicampur bahan rempahnya dan dimasak dengan santan kelapa sehingga kuahnya pekat.


Hidangan ini paling sesuai dinikmati bersama nasi putih hangat dan cukup walau sekadar dinikmati bersama ikan goreng tanpa lauk-pauk lain. Selain itu, lauk opor nangka muda ni akan lebih sedap bila sudah seharian dibiarkan sebab rempahnya yang sudah serap sebati kedalam buah nangka tersebut dan kuahnya juga menjadi bertambah pekat. Lebih banyak kerisiknya, lebih pekat kuahnya, lebih sedap rasanya nanti.

Cuma satu saja kekesalan CT tentang buah nangka. Dulu CT ni penggemar tegar buah nangka. CT suka sangat dengan buah nangka dan kalau makan buah nangka yang sudah masak tu, berulas-ulas CT makan. Tapi itu dulu. Bermula dari masa mengandung anak pertama, CT mula alah pada buah nangka, samada buah nangka segar atau nangka muda yang dibuat lauk. Lepas makan, pasti terasa pedih ulu hati. Alahan tersebut turut dikongsi oleh anak CT yang sulong tu dan kini kami berdua dalam sekeluarga yang tidak dapat menikmati buah nangka seperti orang lain. Rugi kan. Tapi nak buat macamana. Terima ajelah :)


Okeylah, CT berhenti sampai di sini dulu. Pada yang suka makan nangka dan terasa ingin mencuba hidangan baru berasaskan nangka, hidangan Opor Nangka Muda ni pastinya sesuatu yang menetapi citarasa. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT..Daaa....


Opor Nangka Muda

Bahan-bahan :
500 gm nangka muda - dibersihkan
700 ml santan - dari sebiji kelapa

Bahan sangrai dan kisar halus :
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
5 tangkai cili kering - buang bijinya
2 batang serai - hiris kasar
2 helai daun cekur
2 helai daun limau purut - buang uratnya

Bahan sangrai dan kisar kering :
1 sudu besar rata ketumbar biji
1/2 sudu besar jintan putih
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 inci kulit kayu manis

1 sudu besar kerisik
1/4 cawan pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :
1. Rebus nangka hingga empuk dan tapis buang airnya. Ketepikan.
2. Masukkan nangka dalam kulai, tuang santan, bahan kisar halus dan bahan kisar kering kacau rata dan masak sehinga mendidih dengan api sederhana.
3. Masukkan kerisik, pes asam jawa, garam dan gula cukup rasa. Masak lagi hingga kuah sedikit pekat. Angkat dan sajikan.

Daging Gulai Darat

$
0
0

Assalamualaikum...  Bertemu lagi di pagi Jumaat yang mulia ini semoga kita semua mendapat keberkatan sepanjang hari dan segala urusan harian dan pekerjaan yang kita lakukan berjalan lancar dengan jayanya.. amin.


Hari ini lengkaplah sudah kesemua resepi yang ingin CT kongsikan iaitu resepi terakhir dari lima resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013. Resepi Daging Gulai Darat ini adalah salah satu dari resepi yang istimewa berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Rasanya yang seimbang ada masam, manis, masin dan sedikit pedas, bersesuaian dengan citarasa CT dan kami sekeluarga. Pertama kali CT mencubanya, terus CT jatuh hati dan pastinya CT akan membuatnya lagi berulang-ulang kali nanti untuk hidangan keluarga tersayang.


Resepi ini CT ambil dari salah satu buku masakan dalam simpanan CT iaitu dari majalah SAJI keluaran tahun 1997. Sudah agak lama majalah tu dan disebabkan selalu dirujuk berulang-ulang kali, sampai dah hampir berkecai segala muka surat buku tu hehehe. Resepi Daging Gulai Darat ini dikongsikan oleh Chef de Partie, Amran Mohd Nor dari Hotel Perdana Kota Baharu, Kelantan. Tak tahulah samada Chef Amran tu masih disana atau sudah bersara, atau hotel tu pun masih ada. Maklumlah dah lebih 15 tahun resepi ni dikongsikan. Tapi walau sudah tidak jadi chef di sana lagi, pasti masih lagi menjadi chef di rumah untuk isteri dan anak-anaknya kan. hehehe.


Sebelum ni CT pernah juga terpandang lauk macam ni di salah satu warung orang Kelantan yang berdekatan menjual lauk pauk dari pantai timur. Tapi CT tak terfikir pun untuk membelinya sebab CT sangkakan ia lauk kari. Kini setelah CT cuba resepi ni dan berpuashati dengan citarasanya, nampaknya bolehlah CT mengulangnya lagi dan di lain kali, nak cuba ganti dengan daging yang lemaknya lebih sikit tu pulak. Orang Johor panggil daging macam tu, daging tetel. CT agak, rasanya pasti lebih sedap. Pada warga Kelantan di luar sana, jika ada yang mencuba resepi CT ni nanti bolehlah kongsikan pendapat tentang resepi yang CT kongsikan ini nanti ye.


Nampaknya, minggu depan anak-anak sekolah bakal bercuti selama seminggu. Tak tahulah samada CT pun ingin turut sama bercuti dari berkongsi resepi untuk seminggu juga. Maklumlah, sekolah cuti, puan dapur pun terasa macam nak bercuti juga hehehe. Kita tengoklah nanti ye. Apa pun, kalau CT tak bersiaran, selak-selaklah mana-mana yang telah dikongsikan dalam entri yang telah lepas, kot-kot terjumpa resepi yang ingin dicuba masa dok selongkar tu kan.


Apa pun, izinkan CT mengundur diri dulu. Dan sehingga kita bertemu lagi nanti, salam manisss buat semua teman-teman yang sudi singgah menceriakan Dapur CT. Sampai jumpa lagi nanti, salam sayang dari CT..daaa....


Daging Gulai Darat

Bahan-bahan :
300 gm daging lembut - bersihkan dan dipotong kiub


1 sudu kecil pes asam jawa
2 1/2 cawan santan - dari 1 biji kelapa
1 sudu besar ketumbar biji - disangrai dan tumbuk halus
1 sudu besar cili kisar
2 biji kentang - potong dadu besar
3 tangkai cili hijau/merah - dibelah dua
1 sudu besar gula merah
garam secukup rasa

Bahan Kisar Halus:
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/4 cm kunyit hidup
1/4 cm lengkuas

Cara-cara :
1. Campurkan bahan kisar halus bersama daging, santan, cili kisar dan pes asam jawa dalam kuali. Dan masak sehingga mendidih.
2. Masukkan kentang, ketumbar tumbuk, garam dan gula merah kacau rata dan biarkan hingga kentang dan daging empuk dengan api sederhana.
3. Sebelum diangkat perasakan dan masukkan cili hijau/merah kacau rata dan angkat. Hidangkan bersama nasi hangat.

Milk Cupcake

$
0
0

Assalamualaikum... Salam mesra dan salam rindu buat semua pengunjung setia Dapur CT. Dua minggu CT menghilang, ke mana CT menyorok agaknya ye.. hehe. Sebenarnya seperti yang CT katakan sebelum ni, CT hanya mengambil kesempatan untuk merehatkan badan sempena seminggu cuti persekolahan anak-anak. Tup-tup tak sedar dah masuk minggu ke dua CT bercuti dari mengupdate blog rupanya.. hehe. Apa pun, hari ini CT kembali bersiaran seperti biasa ye. Rindu pada blog CT ni :)


Untuk entri hari ini iaitu entri pertama setelah CT bercuti panjang, CT kongsikan resepi Milk Cupcake yang seakan-akan muffin juga rupanya ni. Tak tahu nak panggil cupcake atau muffin. Tapi yang penting, teksturnya memang sangat lembut dan gebu. Pada asalnya, resepi yang CT olah hingga menjadi Milk Cupcake ni adalah resepi sponge cake. Tapi kemudian CT olahnya hingga menjadi seperti yang CT kongsikan ini. 


Kadang-kadang tu memang ada masanya kita terasa ingin bereksplorasi dengan sesuatu resepi yang ingin kita cuba mengikut citarasa kita. Alhamdulillah percubaan ini menjadi. Dan untuk menepati lagi citarasa CT, mulanya CT ingin tambahkan cip coklat, tapi kehabisan stok pulak. Sebagai gantinya, CT tambahkan aje sedikit kismis di dalam adunannya. Pendekkata, capai ajelah apa stok yang ada dalam tangan. Tapi sedap juga jadinya hehehe.


Milk Cupcake ni memang lembut kejadiannya dan tanpa sedar dalamasa CT shoot gambarnya tu rupanya habis juga 3 ketul CT makan hehehe. Teringat yang CT buat tak banyak, terus CT berhenti makan. Nasib baik CT tersedar. Kalau terus aje CT layan mengunyah, pastinya anak-anak tak merasa nanti hehehe.


Pada teman-teman yang berminat nak mencuba resepi ni, buatlah cepat-cepat tau. Jangan jadi macam CT. Dah lama resepi ni disalin untuk dicuba, tapi baru sekarang CT membuatnya. CT jamin resepi ni pasti menepati selera teman-teman yang sukakan cupcake/muffin yang gebu dan lembut. Untuk adunan yang CT kongsikan di bawah tu boleh dapat dalam 12 biji. Jadi kalau nak dapat jumlah yang lebih, gandakan aje bahan-bahannya tu ye.


Okeylah CT berhenti sampai di sini dulu, kita berjumpa lagi nanti untuk resepi yang lain pula ye. Terima kasih buat teman-teman yang sering memberi komen yang manisss buat CT. Sampai jumpa nanti, enjoy this ultra soft and fluffy cupcake.. daaa.....

Milk Cupcake

Bahan-bahan :
2 biji telur gred A
1/4 sudu kecil cream of tartar
1/2 sudu kecil esen vanila
75 gram gula kastor

80 gram tepung gandum
15 gram tepung jagung
1/2 sudu teh baking powder

30 ml mentega cair
80 ml susu - suhu bilik
1 sudu besar kismis - jika perlu

Cara-cara :
1. Panaskan oven pada suhu 160 -170' C. Susun cawan muffin dalam loyang muffin ketepikan.
2. Pukul telur sehingga ringan dan gebu. Masukkan cream of tartar dan esen vanila, pukul lagi. Kemudian masukkan gula kastor sedikit-sedikit dan pukul lagi sehingga sebati dalam 2 minit.
3. Masukkan adunan tepung, kacau mengunakan whisk, tambah mentega cair dan susu. Buat berselang seli dan diakhiri dengan tepung. Kacau sempurna tak perlu lama.
4. Sendukkan dalam cawan muffin 3/4 penuh dan taburkan kismis diatasnya. Buat hingga habis.
5. Bakar selama 15 minit atau hingga perang kemasan. Sejukkan diatas redai sepenuhnya. Ayakkan gula aising ketika menghidang.

Viewing all 219 articles
Browse latest View live